Jumaat, 1 April 2016

Rasuah 1MDB: Kerajaan Malaysia harus pulihkan imej Malaysia di mata dunia

NURUL IZZAH ANWAR


Malaysia sedang menghadapi waktu yang sukar akibat keadaan ekonomi semasa, lihat sahaja keputusan mengejutkan dari Petronas yang terpaksa mengadakan penstrukturan semula dan memberhentikan 1,000 pekerja dalam tempoh 6 bulan dari sekarang.

Berikutan penurunan harga minyak mentah, Petronas mengambil langkah potongan dividen untuk tahun 2016 sebanyak RM16 Billion berbanding RM26 Billion pada tahun 2015. Tambahan,yang lebih membimbangkan adalah PETRONAS akan melaksanakan satu lagi pusingan kajian semula bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasinya (OPEX) dengan menyasarkan untuk mengurangkan hingga RM50 bilion dalam tempoh empat tahun.

Kebarangkalian Malaysia akan berhadapan ancaman krisis ekonomi adalah sesuatu yang nyata berikutan keadaan ekonomi global semasa serta harga minyak mentah. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara juga turut menyatakan isu-isu skandal dalam negara memberi impak kepada ekonomi negara.

Tambah beliau, ekonomi Malaysia akan pulih jika kemelut 1MDB dan persoalan yang berbangkit tentang RM2.6Billion derma yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia dapat dijawab dengan segera.

Risiko kewangan yang dihadapi Malaysia ini merupakan antara topik yang dibincang kan dalam siri lawatan kerja bersama Hugo Swire, Menteri Foreign Commonwealth Office , United Kingdom, Speaker House of Commons UK John Bercow, serta Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom iaitu Fiona Bruce, Jeremy Lefroy, John Glen dan Khalid Mahmood yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Pemimpin-pemimpin ini turut menyuarakan kebimbangan kepada penahanan bekas Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini telahpun dipenjarakan hampir 10 tahun oleh kerajaan Malaysia. Hal ini lebih membimbangkan apabila terdapat senarai 20 orang ahli parlimen Malaysia yang telah menjadi mangsa kepada salah guna kuasa undang-undang lapuk kerajaan Malaysia. Semua ini hanya kerana mereka lantang bersuara membongkar isu rasuah di Malaysia.

Dalam sesi pertemuan bersama Prince Zeid Ra’ad Zeid Al Hussein, Pengerusi badan PBB, beliau memaklumkan bahawa PBB akan terus mengeluarkan kenyataan berkenaan isu-isu hak asasi di Malaysia serta mengambil tindakan lanjut berkenaan laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kerja Penahanan Haram, PBB yang mendesak agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan serta merta. Pada tahun 1999 saya telah buat pertama kali nya berjumpa dengan Mary Robinson yang ketika itu menjawat Pengerusi UNHCR. Alangkah sedia nya apabila tahun silih berganti namun isu yang dihadapi di Malaysia tetap sama.

Krisis yang dihadapi Malaysia merupakan simbol bahawa dengan pengabaian berterusan tentang jenayah merentasi sempadan ini hanya akan membuka ruang kepada jenayah kolar putih di peringkat antarabangsa.
1MDB
Adapun sesetengah pihak mendakwa dakwaan – dakwaan serta siasatan yang dijalankan adalah semata-mata untuk menjatuhkan kepimpinan pemerintahan Najib Razak. Menteri – menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menegaskan pendedahan berterusan daripada portal antarabangsa seperti Wall Street Journal (WSJ) dan New York Post berkenaan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan akaun peribadi mempunyai agenda tersembunyi. Bahkan, pihak SKMM akan mengambil tindakan lanjut terhadap pihak WSJ.

Hakikatnya, kini isunya bukan sekadar menjadi sensasi dari pihak media. Pihak Pendakwaraya Switzerland juga sedang menjalankan siasatan berkenaan isu 1MDB. Pejabat Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata ia telah secara rasmi meminta Malaysia membantu siasatannya terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara. Tambahan pula, sumber dari Geneva mengesahkan pihak Pendakwa Swiss menekankan tentang jumlah wang yang membabitkan pengawai awam dikaitkan dengan 1MDB melalui akaun bank Switzerland. Permohonan untuk menjalankan siasatan masih belum menerima kata putus dari pihak Peguam Negara Malaysia.

Skala isu skandal rasuah ini sudahpun di tahap yang membimbangkan. Akhbar Wall Street Journal ( WSJ ) baru-baru ini menyatakan jumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak keseluruhannya mencecah lebih daripada 1 billion US Dolar. Siasatan berterusan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Abu Dhabi membuktikan ini adalah skandal di peringkat antarabangsa. Kerajaan Malaysia sewajarnya tidak hanya melihat skandal 1MDB ini sebagai hanya isu dalaman dan berterusan mengamalkan dasar tertutup dalam menjalankan siasatan.

Tindakan yang lebih menyedihkan apabila Peguam Negara telah menutup siasatan yang dijalankan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta menyimpulkan Najib tidak terlibat dalam isu derma ke dalam akaun peribadi. Sehubungan itu, ini menimbulkan kebimbangan apatah lagi setelah WSJ mendedahkan derma yang boleh dikaitkan dengan dana 1MDB.

Terlalu banyak persoalan yang timbul tanpa jawapan tuntas dan terlalu ramai yang terlibat merentasi sempadan antarabangsa. Bahkan, terlalu banyak risiko yang terpaksa ditanggung oleh ekonomi Malaysia dan rakyat terbanyak.

Isu yang terkait ini bukanlah hanya tentang membuka pekung di dada negara sendiri kepada mata dunia. Apa yang dibangkitkan adalah dakwaan berkaitan 1MDB adalah sama seperti rasuah merentasi sempadan negara. Mana mungkin kerajaan Malaysia berterusan mengaburi dan menipu rakyat berkenaan skandal kewangan 1MDB. Tambahan dengan jumlah hutang terkumpul yang mencecah 11 bilion adalah sesuatu yang perlu diselesaikan. Justeru, sudah tiba masanya Malaysia memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu kaitan rasuah merentasi sempadan dan berusaha memulihkan imej dan kredibiliti negara di mata dunia.

*  NURUL IZZAH ANWAR,AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.