KUCHING - Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 turut menyaksikan pertembungan antara saudara-mara, anak menggantikan tempat bapa dan balu bertanding mempertahankan kerusi mendiang suami.
Dua calon akan bertanding mempertahankan kerusi bapa masing-masing.
Gerald Rentap Jabu, 42, akan bertanding mewakili Barisan Nasional di Layar untuk mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, selama sembilan penggal, dari 1974.
Alfred Jabu adalah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Bahagian Pesaka) dan pernah menganggotai Kabinet dua bekas Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yaakub dan anak saudaranya Tun Abdul Taib Mahmud.
Gerald Rentap merupakan timbalan ketua pemuda PBB dan seorang ahli perniagaan yang memegang berapa jawatan penting dalam beberapa syarikat.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perbankan dan Kewanggan) dari La Trobe University, Victoria, Australia.
Allan Siden Gramong, 30, merupakan calon BN di Machan menggantikan bapanya Datuk Gramong Juna, 69, yang merupakan ADUN kerusi Machan selama lapan tujuh penggal, dari 1979.
Allan seorang anggota Parlimen Belia Malaysia yang mempunyai Sarjana Muda Sastera dari Limkokwing University of Creative Technology.
Sementara itu, dua orang balu akan mengikut jejak mendiang suami masing-masing dalam politik.
Irene Mary Chang Oi Ling, 51, daripada DAP akan bertanding mempertahankan kerusi Bukit Assek yang dimenangi mendiang suaminya Wong Ho Leng pada pilihan raya negeri 2011.
Datuk Janet Lau, 69, seorang kapitan dan balu kepada bekas timbalan menteri persekutuan Datuk Robert Lau akan bertanding untuk kerusi Pelawan sebagai calon langsung BN.
Calon BN Datuk Dr Jerip Susil pula akan bertanding bagi kali kedua dengan anak saudaranya daripada PKR Willie Mongin di Mambong (sebelum ini dikenali Bengoh) untuk mempertahankan kerusi yang dipegangi sejak 1996. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.