shahbudindotcom
Berdepan
kritikan dan syak wasangka pelbagai pihak tentang kemungkinan sudah
membuat pusingan U, berpaling tadah dan menerima dedak berikutan secara
terbuka meminta maaf kepada Najib Razak di majlis memperingati 10 tahun
pemergian Tun Ghafar Baba Ahad lalu, Tamrin berkata, prinsipnya bersama
dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara ini tidak pernah berubah.
"Itu
prinsipnya, malah sebelum program di Melaka itu saya juga sudah
memaklumkan kepada Tun Mahathir Mohamad mengenainya dan beliau
memahaminya," kata Tamrin lagi.
Sehubungan
itu, jelas Tamrin, isu sama ada beliau sudah membuat pusingan U,
berpaling tadah atau menerima dedak daripada Najib tidak berbangkit sama
sekali.
Sabtu
lalu, ketika majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba di
Bukit Peringgit, Melaka yang turut dihadiri oleh Najib, ucapan Tamrin
yang meminta maaf kepada Perdana Menteri telah menjadi viral di media
sosial dan dalam perbualan umum serta dikaitkan dengan pendirian
politiknya.
Tamrin
sebelum pilihanraya 2013 lalu telah keluar UMNO dan menyertai Pas.
Beliau bagaimanapun kemudiannya meninggalkan Pas dan kekal tidak
menyertai mana-mana parti sehingga kini, tetapi kerap muncul bersama Tun
Mahathir sejak timbulnya isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang
melibatkan Najib.
Menjelaskan
tindakannya meminta maaf di majlis yang dihadiri Najib dan sebahagian
besar pemimpin UMNO itu, Tamrin berkata, beliau bukan saja meminta
maaf kepada Najib, tetapi juga kepada semua yang hadir atas kelemahannya
sebagai manusia dan jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukannya
terhadap mereka.
Menurut
beliau, meminta maaf itu hanya menunjukkan sikap merendah dirinya
sebagai manusia yang beragama Islam terhadap sesama manusia yang lain.
"Ia tidak lebih daripada itu, lagi pun bukankah saling meminta maaf itu amat digalakkan dalam Islam?
"Selain
itu, kita juga tidak tahu bila masanya kita akan dipanggil mengadap
Tuhan, maka ada baiknya saya meminta maaf secara terbuka kerana saya
juga banyak mengkritik mereka secara terbuka," tambahnya lagi.
Mengenai
projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar yang diumumkan oleh Najib ketika
majlis tersebut, beliau menjelaskan ia bukanlah perkara baru, malah
sudah diluluskan kira-kira sembilan tahun lalu ketika Rais Yatim menjadi
Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan lagi.
Namun, katanya, projek itu tertangguh sekian lama berikutan difahamkan kerajaan tiada peruntukan kewangan untuk melaksanakannya.
Kata
Tamrin, projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar menjadi bangunan dua
setengah tingkat adalah di bawah Arkib Negara, sebuah agensi di
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan beliau tidak terlibat sedikit
pun dengannya.
Jelasnya,
beliau menyerahkan sepenuhnya mengenai pembinaan dan apa-apa yang
berkaitan dengan memorial itu kepada kerajaan untuk menguruskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.