Calon PKR di Nangka Abdul Raafidin Majadi mencabar penyandang kerusi itu Dr Annuar Rapaee berbahas berkaitan kenyataan lawannya supaya orang Islam mengundi BN bagi mengekalkan penguasaan mereka.
Abdul Raafidin merancang menyerahkan surat undangan berbahas itu di pusat kempen Annuar esok.
Dalam kenyataan hari ini, calon PKR itu berkata Annuar (gambar) telah menggesa pengundi memilih calon berdasarkan sentimen kaum dan agama.
Politik perkauman, tambahnya, tidak patut dibawa ke Sarawak dan keharmonian beragama patut menjadi keutamaan negeri itu.
Abdul Raafidin berkata rakyat Sarawak patut memilih berdasar integriti dan kemampuan.
"Saya sebagai calon PKR Nangka yang berbangsa Melanau menekankan bahawa keadilan harus diberikan kepada semua warga Nangka dan Sarawak tanpa mengira latar belakang politik.
"Maka saya mencabar calon BN untuk N55 Nangka Dr Annuar Rapaee untuk berdebat dalam judul 'Siapakah yang lebih layak menjadi Ketua Menteri Sarawak' pada 1 Mei 2016," katanya.
Annuar, seorang pakar kardiologi, sebelum ini mempertikai laporan Malaysiakini yang melaporkannya sebagai berkata orang Islam, walaupun minoriti, mendapat peluang memimpin negeri dan perkara itu tidak patut disia-siakan.
Beliau mendakwa kenyataannya dibuat di luar konteks. Wartawan Malaysiakini yang menulis berita itu sedang disiasat selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
Malaysiakini mempertahankan kesahihan berita itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.