Jumaat, 29 April 2016

Pampasan RM39.8j bela nasib pesawah

Kemarau
Musim kemarau telah menyebabkan kawasan beting pasir sungai Danube berhampiran Mariaposching, Jerman menjadi tandus dan gersang. - Foto EPA


BAGAN SERAI - Lebih 3,000 pesawah di daerah Kerian memerlukan bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta daripada kerajaan pusat bagi menampung kerugian tanaman padi mereka terjejas akibat fenomena El Nino terburuk ketika ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan kajian dibuat, anggaran nilai pampasan itu perlu dipertimbangkan secara serius memandangkan sejumlah 3,175 petani daerah ini bakal kehilangan satu-satunya sumber pendapatan iaitu hasil padi.

Setelah bekalan pengairan pertanian dari empangan Kolam Bukit Merah kini ditangguhkan sepenuhnya, Dr Noor Azmi mendedahkan sejumlah 8,237 hektar sawah padi melibatkan kompartment A hingga H dikenal pasti terjejas daripada keseluruhan 21,108 hektar sawah padi di daerah Kerian.

"Daripada keseluruhan 8,097 pesawah di daerah ini, sejumlah 3,175 pesawah melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar dikenal pasti terjejas teruk setelah sawah padi diusahakan berisiko tinggi tidak menjadi akibat kekurangan bekalan air.

"Berdasarkan angka itu, kesimpulannya hampir 50 peratus pesawah daerah Kerian terkesan teruk akibat paras air empangan semakin kritikal dan saya menganggarkan nilai pengeluaran padi terjejas pada musim ini bernilai keseluruhan RM56.4 juta,"katanya kepada media pada majlis apresiasi rakyat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah-sekolah seluruh Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen(MPPP) Parlimen Bagan Serai berkata, cadangan pemberian bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta dibuat berdasarkan pengiraan jumlah kos permulaan menanam padi ditanggung pesawah setiap hektar ditambah bantuan pembiayaan 50 peratus daripada anggaran hasil padi mereka.

Meskipun maklumat awal menyatakan jumlah keluasan sawah padi terjejas di Kerian meliputi 5,000 hektar, Dr Noor Azmi menegaskan ia hanya melibatkan kawasan sawah padi di Kompartment G dan H yang tidak sempat memulakan tanaman musim ini gara-gara bekalan pengairan pertanian ditangguhkan.


"Sebaliknya, tambahan 3,097 hektar kawasan sawah padi melibatkan Kompartment A hingga F sebenarnya turut terjejas meskipun pesawah sudah memulakan tanaman.

"Hal ini kerana sawah padi sudah ditanam lebih berhadapan risiko tinggi tidak menjadi sekiranya bekalan pengairan tidak cukup terutama usia padi mencecah 40 hari.

"Selain itu, ancaman rumpai tumbuh secara agresif dalam cuaca panas turut meningkatkan risiko tanaman padi diusahakan pesawah terjejas sepenuhnya,"katanya.

Ditanya keputusan kerajaan pusat tidak mengisytiharkan kawasan empangan Kolam Bukit Merah sebagai kawasan bencana, Dr Noor Azmi akur dengan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana di Putrajaya petang semalam.

Menurutnya, kerajaan pusat wajar memikirkan implikasi yang perlu ditanggung dari segi kewangan dan perundangan sebelum pengisytiharan kawasan bencana dibuat.

"Bagaimanapun, saya berharap bantuan pampasan dapat disalurkan segera kepada golongan pesawah terjejas, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri bakal menjelang tiba.

"Selain itu, kerajaan pusat juga perlu mengambil perhatian terhadap implikasi negatif ditanggung pemain industri pelancongan resort, Pulau Orang Utan dan pengusaha ikan arowana yang turut terjejas akibat bekalan air empangan sangat kritikal ketika ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.