shahbudindotcom
Tun
Mahathir Mohamad selalu dilihat sebagai pemimpin yang hebat kerana
aspirasinya membawa pemodenan kepada negara selama 22 tahun berkuasa.
Beliau kerapkali disebut sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.
Tun
Razak Hussein pula dikenali sebagai peneraju pembangunan berikutan
dasar-dasarnya yang praktikal untuk semua rakyat dan bermanfaat sehingga
ke hari ini, khususnya untuk golongan miskin. Lantaran itu, beliau
lebih dikenali dengan Bapa Pembangunan negara.
Tunku
Abdul Rahman Putra Alhaj dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan serta banyak
memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat dengan sikap toleransi
dan bijaksana dalam memimpin negara. Disebabkan sumbangannya
memerdekakan negara, nikmatnya dirasai oleh kita semua sehingga hari
ini.
Tun
Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi juga tidak kurang pencapaiannya
ketika memimpin negara, tetapi harus diakui kedua-duanya sekadar
"biasa-biasa" saja pencapaiannya.
Tahun
2016 ini bermakna Najib Razak sudah menjangkau tempoh tujuh tahun
sebagai Perdana Menteri. Terbukti hanya dalam tempoh sesingkat tujuh
tahun, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri
"terhebat" yang kita pernah ada.
Kehebatannya tak terlawan dek semua Perdana Menteri yang sudah dan banyak berjasa kepada kita sebelum ini.
Malah,
disebabkan "kehebatannya" itu, mungkin tidak ditemui lagi sesiapa yang
mampu menandinginya. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri selepas
ini, hakikatnya teramat sukar untuk melepasi "pencapaian" Najib.
Sumbangan
terbesar Najib kepada rakyat ialah memperkenalkan perkataan dan angka
bilion kepada rakyat. Sebelum ini ramai yang tidak pernah mendengar,
menyebut dan jauh sekali bermimpi untuk memiliki wang berbilion-bilion.
Tetapi
dengan terdedahnya mengenai Najib membenarkan wang sebanyak RM2.6
bilion dimasukkan ke akaun peribadinya, ramai yang jadi biasa menyebut
perkataan itu, walaupun ramai yang tidak pernah melihat berapa banyaknya
wang 1 juta sekali pun.
Ramai
juga yang sebelum ini tidak tahu dengan tepat makna satu bilion.
Kebanyakannya menyangka bilion itu hanya ratus juta, tetapi kini semua
sedar, termasuk budak-budak sekolah bahawa satu bilion itu ialah seribu
juta.
Bermakna
Najib telah mencelikkan rakyat dalam satu lagi ilmu kira-kira yang
sebelum ini tak berapa diambil peduli oleh rakyat kebanyakan.
Hebatnya
Najib juga ialah kerana mampu menjadi "selamba derk" di sebalik semua
dakwaan skandal yang dikaitkan dengannya. Muhyiddin sendiri hairan
bagaimana Najib boleh begitu "selamba" seolah-olah tidak melakukan
apa-apa kesalahan, sedangkan seluruh dunia memperkatakan tentang wang
yang masuk ke akaun peribadinya.
Dalam
isu RM2.6 bilion atau RM2,600 juta yang masuk ke akaun perbadinya
misalnya, di sebalik majoriti isi dunia meragui wang itu sebagai derma,
malah Tun Mahathir secara terbuka mengaitkannya sebagai pencurian wang,
Persidangan Anti Rasuah merumuskannya sebagai memenuhi semua syarat
untuk rasuah dan Akta SPRM sendiri menyebut menerima derma bagi penjawat
awam adalah rasuah, Najib tetap "selamba jerrr" menghadapinya.
Lebih
mengkagumkan, berbanding sebelum timbulnya isu wang tersebut, Najib
juga kelihatan lebih kerap memunculkan dirinya dengan memakai jubah,
kopiah putih dan bermesra-mesraan dengan golongan agamawan selepas ia
semakin diperkatakan ramai.
Ini
merupakan kehebatan yang luar biasa sebenarnya. Di kampung-kampung
dahulu, apabila seseorang itu diperbualkan dengan kegiatan jahat seperti
disyaki mencuri dan sebagainya, mereka bukan saja menjauhkan diri
dengan masyarakat, selalu hilang daripada kampung, malah tidak mungkin
berani singgah ke surau atau masjid untuk bercampur gaul dengan golongan
yang semuanya berkopiah putih.
Dengan Najib mampu berbuat sebaliknya, beliau nyata benar-benar "hebat" dalam hal ini.
Dalam
aspek yang lain, dengan terbukti dalam akaun peribadinya pernah
berlabuh wang sejumlah RM2,600 juta, kemudian disebut juga oleh
media-media antarabangsa sebanyak RM4,200 juta, Najib juga merupakan
Perdana Menteri "terkaya" berbanding pendahulu-pendahulu yang pernah
menerajui negara ini.
Selain
itu, meskipun diri dan keluarganya sering dikaitkan dengan perbelanjaan
mega, perhiasan mahal dan percutian mewah, tetapi Najib dan Rosmah
Mansor juga selalu mengingatkan rakyat tentang jimat cermat, jangan
boros berbelanja dan memberi nasihat agar rakyat "memiliki dua pasang
baju sahaja" ketika Hari Raya.
Jika
dirangkumkan semua "kehebatan" itu dengan hutang negara lebih RM800
bilion, jumlah kabinet paling besar, penasihat bertaraf menteri paling
ramai, mengambil rakyat asing sebagai penasihat media, perbelanjaan
Jabatan Perdana Menteri juga paling besar dan banyak lagi perkara yang
menjadi tatapan kita semua sejak 2009 lalu, ternyata Najiblah yang
"terhebat" sekali antara semua Perdana Menteri kita.
Yang
lepas-lepas, daripada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga Tun
Abdullah Badawi telah terbukti tidak mampu menandinginya, di masa depan
pula, sosok "sehebatnya" mungkin tidak akan kita temui lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.