Khamis, 28 April 2016

Laporan PAC timbulkan lebih banyak persoalan

Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod


SHAH ALAM - Pendedahan yang dilakukan oleh Presiden/Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang tidak menolak kemungkinan ada penipuan besar-besaran berlaku dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu bakal merumitkan lagi isu berkenaan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, perhatian pasti terhala ke arah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sebelum ini membentangkan laporan sebaliknya.

“Ia pasti akan bertambah rumit. Isu hutang yang perlu dibayar mendapat perhatian semua. Jadi apa yang disebutkan oleh ramai ahli politik, termasuk ahli PAC, bahawa isu 1MDB telah selesai nampaknya tidak tepat.

“Laporan PAC mengenai pengurusan 1MDB yang dibentangkan sebelum ini pasti dianggap tidak menyeluruh, malah, timbul lebih banyak persoalan lain,” katanya.

Menurutnya, isu berkenaan masih penting kerana rakyat mahu tahu kebenaran, termasuk persoalan seperti kenapa laporan 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Banyak persoalan akan terus timbul, malah mereka yang memberi perhatian terhadap isu ini akan menanti sehingga persoalan mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam isu hutang 1MDB, terjawab.

“Saya juga percaya lebih banyak konflik akan timbul selepas ini apabila satu persatu isu lain timbul oleh mereka yang terlibat dengan 1MDB dan perhatian pasti diberikan kerana akhirnya 1MDB adalah tanggungan kerajaan juga,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.