PUTRAJAYA - Sebanyak 730 kes mangsa dipatuk ular dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari lepas sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata, Kedah merekodkan jumlah tertinggi kes patukan ular iaitu 195 kes diikuti Perak (107 kes) dan Selangor (78 kes) manakala satu kematian berlaku di Kelantan.
Beliau berkata, perlu dapatkan rawatan kecemasan dengan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan sekiranya terdapat mangsa yang disyaki dipatuk ular.
"Jangan buat apa-apa yang lain seperti potong luka, jangan cuba keluarkan air atau bisa atau darah dari tempat patukan. Juga tidak perlu ikat luka dengan kain.
"Pergerakan bahagian badan yang dipatuk ular perlu dikurangkan dan mangsa perlu ditenangkan. Segala keputusan mengenai memberi antivenom atau tidak akan dibuat oleh doktor," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dr Subramaniam juga memberi jaminan terdapat bekalan antivenom di 139 buah hospital kerajaan di negara ini dan sekiranya ubat penawar bisa ular itu kehabisan di sesebuah hospital, ia boleh dihantar ke hospital itu.
Katanya kebanyakan kes dipatuk ular di negara ini melibatkan ular tidak berbisa dan menurutnya doktor akan menentukan jenis antivenom yang akan diberikan dengan perlu mengetahui jenis ular yang patuk berdasarkan ciri-cirinya.
"Ini tidak bermaksud kita kena tangkap ular dan bawa ke hospital. Kalau pihak Bomba atau Perhilitan sudah tangkap ular itu, mereka boleh serahkan di hospital untuk bantu doktor," katanya.
Menurut Dr Subramaniam, terdapat dua jenis antivenom iaitu yang spesifik terhadap satu jenis ular atau 'mono-valent' dan kombinasi beberapa jenis ular atau 'poly-valent'.
Katanya susulan kes kematian pelajar Tahun Satu akibat dipatuk ular baru-baru ini di Kelantan, buat masa ini belum ada keperluan untuk antivenom dibekalkan di sekolah-sekolah kerana ia hanya boleh diberikan oleh doktor dalam keadaan terkawal.
"Antivenom tidak boleh diberikan oleh sesiapa kerana risikonya. Risiko antivenom adalah lebih besar berbanding patukan ular itu sendiri. Seseorang itu mungkin menerima tindak balas daripada antivenom kerana ia diperbuat daripada serum kuda. Apabila disuntik dengan serum haiwan, tubuh manusia akan bertindak balas dan kami perlu mempunyai kemudahan untuk memulihkan pesakit yang dirawat itu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.