1MDB hari ini berkata dana AS$3.5 bilion yang dibayar oleh firma pelaburan Malaysia itu tetapi tidak diterima oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) adalah "masalah dalaman" untuk diselesaikan oleh firma milik Abu Dhabi itu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata ini kerana dana Malaysia itu berurusan secara langsung dengan eksekutif kanan IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS.
"1MDB menegaskan bahawa ia berurusan dengan eksekutif kanan, justeru urus niaga itu mengikat IPIC dan Aabar Investments PJS sebagai syarikat korporat - maka, ia adalah isu dalaman mereka untuk diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Adalah dilaporkan bahawa penyiasat antarabangsa percaya wang berkenaan terpesong daripada 1MDB kepada sebuah syarikat di Kepulauan British Virgin yang mempunyai nama yang hampir sama dengan Aabar Investments PJS tetapi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IPIC.
Wang berkenaan adalah sebahagian daripada deposit yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada Aabar Investments PJS sebagai jaminan untuk dua bon yang diterbitkannya.
Ia juga sebagai bayaran bagi penamatan pilihan untuk Aabar melanggani 49 peratus pegangan dalam aset kuasa milik firma pelaburan Malaysia itu.
Walau bagaimanapun, Arul Kanda berkata 1MDB akan membantu dalam menyelesaikan perbezaan pendapatnya dengan IPIC.
"1MDB tidak akan menjauhkan diri dan berharap untuk menyelesaikan pertikaian ini bersama IPIC melalui perbincangan dan jika perlu ke timbang tara, untuk memastikan penyelesaian segera, demi kepentingan semua pihak berkepentingan.
"Dalam pada itu, 1MDB akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dalam siasatan yang sedang dijalankan ke atas syarikat itu.
"1MDB sentiasa berpendirian dan terus mengekalkan pendirian bahawa jika ada bukti salah laku ditemui, maka tindakan perlu diambil, menurut undang-undang," katanya.
Ketika kontroversi berbilion dolar yang hilang itu, IPIC enggan memenuhi peranannya sebagai penjamin bon 1MDB dengan membayar faedah.
Ini menyaksikan keingkaran di pihak 1MDB semalam selepas IPIC tidak membayar faedah AS$50 juta ke atas bon jaminannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.