Isnin, 28 Mac 2016

'Umno tak terbabit baling telur ke arah pemimpin DAP'

MALAYSIAKINI




Wakil rakyat Umno Ahmad Nazlan Idris menyifatkan kejadian membaling telur ke arah pemimpin DAP yang berlaku di kawasan parlimennya adalah sebagai amaran keras kepada mereka agar tidak bersikap angkuh.

Turut hadir pada sesi ceramah kedai kopi di Jerantut pada 21 Mac adalah pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

Ahmad Nazlan berkata, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran, terutama bagi Lim yang terlalu yakin bahawa ahli mereka akan sentiasa bersama walau apapun yang terjadi.

“Kejadian ini jelas membuktikan bahawa kehadiran mereka ke Jerantut ditolak oleh ahli sendiri.

Pemimpin DAP bukan sahaja dibaling telur tetapi papan tanda pusat khidmat DAP parlimen Jerantut turut diturunkan.

“Inilah tanda protes ahli DAP yang mula bosan dan muak dengan sikap dan penipuan kepimpinan DAP,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.

Menurut ahli parlimen Jerantut itu, masyarakat kawasan itu, khususnya yang bangsa Cina semakin dapat menilai bahawa kepimpinan DAP hanya indah khabar dari rupa dan tindakan mereka seringkali tidak serupa bikin.

Ahmad Nazlan turut menegaskan bahawa kejadian tersebut tidak ada kena mengena langsung dengan Umno mahupun ahlinya.

“Umno sama sekali tidak terlibat dengan perkara ini malah saya sendiri berada di parlimen ketika kejadian tersebut.

“Jadi jangan ada pihak yang cuba untuk mengaitkan Umno dengan kejadian ini. Saya difahamkan bahawa ini adalah kerja ahli mereka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah mendakwa kejadian itu didalangi oleh ahli yang kecewa dengan parti itu kerana menyerahkan kerusi pilihan raya kepada PKR.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-12 tahun 2008, DAP telah melepaskan kerusi DUN Damak, Pahang kepada PKR.

"DAP bertanding di Damak pada tahun 2004. Pada tahun 2008, kita tidak mempunyai calon jadi PKR bertanding di kerusi itu.

"Sekarang adalah sangat susah untuk mengambil semula kerusi itu," kata ADUN Tanah Rata itu, sambil menambah bahawa ahli akar umbi mahukan calon kegemaran mereka bertanding kerusi itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.