KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat apabila
beliau keluar daripada Umno, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia
Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai pilihan terbaik bagi Dr Mahathir
ekoran hubungan beliau dengan Umno atau pemimpin lain tidak dapat
dipertahankan lagi.
"Tindakan Dr Mahathir memudaratkan parti dan adalah kelihatan tidak
logik sekiranya beliau terus berada dalam parti, dan pada waktu yang
sama, menentang parti.
"Sekiranya Dr Mahathir ingin terus menyerang Umno, maka beliau perlu
berbuat demikian di luar Umno. Itu merupakan perbuatan mulia dan
beretika untuk dilakukan.
"Ini kali ke-3 Dr Mahathir meninggalkan Umno," katanya melalui catatan terbaru dalam laman blognya.
Kali pertama ialah apabila beliau dipecat presiden parti ketika itu Tunku Abdul Rahman.
Selepas itu beliau sekali lagi keluar daripada Umno pada 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui parti itu.
Salleh berkata beliau sedih dengan episod kali ini, bukan kerana Dr
Mahathir sekali lagi meninggalkan Umno tetapi kerana keadaan
pengundurannya.
Tiada siapa boleh menafikan Dr Mahathir banyak berjasa kepada negara
sepanjang 22 tahun beliau menjadi perdana menteri, "walaupun tempoh
beliau menyandang jawatan itu, tidaklah bebas sepenuhnya daripada
kecacatan."
"Tetapi, peristiwa yang berlaku pada tahun lepas serta pengundurannya
hari ini akan lebih diingati daripada kebaikan yang beliau lakukan.
"Saya ingin melihat sisi baik dan buruknya secara saksama dan ingin
mengingatkan orang ramai walaupun ini merupakan sesuatu yang
menyedihkan dalam sejarah parti, terdapat juga perkara yang baik dan
kita perlu menerima gandingan kedua-duanya.
Salleh berkata, beliau sedar pengunduran Mahathir itu tidak akan menamatkan kritikan Mahathir terhadap Umno.
"Saya hanya berharap agar kita dapat menjaga maruah dan tertib serta tidak membawa negara terjerumus ke dalam politik longkang.
"Dan, dengan penuh keikhlasan, saya mengharapkan yang terbaik bagi Dr Mahathir pada masa akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.