Selangor tidak menurunkan tarif air walaupun pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri itu hampir dua penggal.
Sebaliknya, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berkata kerajaan negeri mengekalkan kadar tarif sedia ada.
"Mengenai penurunan kadar tarif air, kami berjaya ambil alih pentadbiran negeri ini, kita kekalkan (kadar tarif air)," katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.
Ng berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri akan menurunkan kadar tarif air selepas mengambil alih pengurusan air di negeri itu.
Sejak Oktober lepas, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga Sdn Bhd sebagai syarikat penyedia perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi DUN, Sulaiman berkata kerajaan negeri sepatutnya membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh mengurangkan kadar tarif air selepas mengambil alih pengurusan air di Selangor.
"Dahulu ketika nak buat penstrukturan semula air, saya masih ingat kerajaan negeri beri alasan nak dapatkan bekalan air lebih berkualiti dan harga berpatutan.
"Sepatutnya bila dah ambil alih (pengurusan air) mereka kena tunjuk pada rakyat paling kurang satu atau dua sen dikurangkan untuk tarif air. Mereka
sebenarnya ambil alih (pengurusan air) bukan untuk tujuan berkenaan tetapi lebih kepada tujuan politik," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.