KUALA LUMPUR: Syarikat yang membekal mi yang didapati terdapat serpihan
kaca sehingga menyebabkan murid terpaksa dirawat di hospital telah
digantung perkhidmatannya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan berkata, arahan
tersebut telah dikeluarkan sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai
perkara itu.
“Kementerian berkenaan sedang menunggu laporan daripada pihak sekolah
sebelum tindakan diambil terhadap syarikat berkenaan,” katanya dalam
laman blognya hari ini.
Dilaporkan pada Ahad lalu, tujuh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh
pada Jumaat lalu akibat termakan serpihan kaca dalam mi yang disediakan
di bawah Program Makanan Tambahan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkongsi
rasa marah ibu bapa murid berkenaan dan mengarahkan siasatan menyeluruh
dilakukan bagi mengenal pasti masalah dalam prosedur kendalian makanan
agar perkara sedemikian tidak berulang.
“Kementerian akan turut memastikan terdapat pembekal makanan yang
berkelayakan agar tidak mengganggu program makanan tambahan,” kata
Kamalanathan.
Beliau berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa sekolah dan
guru yang bertanggungjawab dalam program makanan tambahan untuk
memeriksa makanan dan kualitinya sebelum membenarkan murid mengambil
makanan tersebut.
“Saya telah melawat murid-murid berkenaan semalam dan sangat lega
apabila doktor memaklumkan tidak terdapat sebarang kes kekal ke atas
murid-murid itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor.
Beliau turut mengarahkan 54 orang murid sekolah berkenaan yang memakan
mi tersebut supaya di x-ray bagi memastikan mereka bebas daripada
sebarang jangkitan ekoran pemakanan beracun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.