Sabtu, 26 Mac 2016

Dr Mahathir harap samannya didengar di mahkamah

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengharapkan agar saman yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib Razak akan didengar di mahkamah.

Katanya, sekiranya perkara itu tidak berlaku, beliau menganggap kedaulatan undang-undang tidak dapat dilaksanakan di bawah pemerintahan Najib.

"Mengikut proses undang-undang, saman semacam ini perlulah dibawa ke mahkamah untuk didengar dalam mahkamah dan keputusan dibuat oleh mahkamah.

"Kalau dia tak sampai ke mahkamah bermakna kedaulatan undang-undang tak berjalan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu, tanpa menamakan mana-mana pihak, Dr Mahathir berkata kini juga dilihat berlaku perkara sebaliknya apabila ada orang membuat laporan polis.

Beliau mendakwa apabila ada orang buat laporan, orang itu akan dipanggil, disoal, ditangkap, dihadapkan ke mahkamah kerana buat laporan.

"Tapi tuduhan dia lain lah, kononnya dia pengganas," katanya.

Beliau dipercayai merujuk kes bekas pemimpin Umno Pulau Pinang Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tahun lalu.

Dr Mahathir serta dua yang lain- bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Mereka yang menjadikan Najib sebagai defendan tunggal dalam tuntutan itu memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Mereka mendakwa Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.