Khamis, 3 Mac 2016

Buka masjid untuk gelandangan malam

Aziff Azuddin

 


ULASAN Beberapa bulan lalu, Masjid Negara menjadi perbincangan ramai apabila pekerja amal Syed Azmi mencadangkan perkarangan masjid dibuka untuk gelandangan pada waktu malam.

Harapan ramai adalah yang pihak Masjid Negara akan berbesar hati untuk memberi tempat berteduh kepada golongan yang kurang bernasib ini.

Malah, sekian lama kami menunggu, pihak Masjid Negara menolak permintaan untuk membuka perkarangan mereka kepada gelandangan.

Pihak Masjid Negara berkata yang mereka hendak mengelakkan daripada situasi di mana golongan gelandangan “tidak menjaga adab” di rumah Allah S.W.T.

Malah ditambah lagi di akhir mesej tersebut untuk tidak memburukkan pihak Masjid Negara di mata masyarakat melalui sosial media.

Bagi saya, kesimpulannya senang: yang memburukkan imej Masjid Negara adalah pihak mereka sendiri.

Apakah hak mereka sebagai hamba Allah S.W.T. untuk menghakimi siapa mereka rasa layak memasuki rumah Allah S.W.T? Bukankah agama Islam mengutamakan kita membantu orang yang dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan?

Dalam karya Sheikh Omar Bakri Muhammad, The Role of the Mosque, peranan masjid tidak hanya terhad kepada beribadah.

Malah, wacana berkenaan isu ini menekankan bahawa masjid juga menjadi tempat untuk membangunkan ummah dari segi komuniti dan ekonomi.

Sudah pasti pihak Masjid Negara pernah ke tanah suci Madinah dan Mekkah. Tidakkah mereka nampak kepelbagaian manusia yang menggunakan ruang Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Haram untuk berteduh?

Lagi-lagi mereka yang tidak ada rezeki untuk bermalam di hotel di sekitar kawasan tersebut.

Beri betis hendak peha?

Saya tidak nafikan bahawa bagi pihak Masjid Negara, ini menjadi kes di mana “diberi betis hendak peha”.

Takut nanti kebaikan mereka diambil kesempatan dan tempat yang sepatutnya suci-bersih menjadi kotor dan sebagainya.

Tetapi sebagai wakil agama dan penjaga kunci kepada rumah Allah S.W.T, tidakkah kebajikan komuniti juga menjadi tanggungjawab mereka?

Saya yakin ramai tidak ada masalah jika Masjid
Negara memulakan inisiatif “halfway home” di mana mereka menjadi platform untuk menolong golongan gelandangan untuk integrasi kembali dengan masyarakat. Naratif gelandangan tidak simplistik seperti anda bayangkan.

Islam agama belas kasihan

Walaupun puncanya berbeza, secara kesimpulannya kebanyakan daripada mereka memerlukan sokongan daripada komuniti yang menolak mereka atas sebab “malas” tanpa mengetahui punca sebenar mereka menjadi gelandangan pada mulanya.

Janji tak berceramah dan menunjukkan diri mereka lebih alim, sudah.

Pihak Masjid Negara ada peluang untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menunjukkan belas kasihan. Malah setiap orang Islam ada tanggungjawab untuk menolong sesama manusia, tidak kira ras, rupa dan latar belakang.

Jangan kerana kita rasa kita pegang kunci kepada rumah Allah S.W.T dan warak, kita terselamat pada hari Akhirat kelak. Kerana itu hanya Allah S.W.T yang tahu. Allahu A’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.