Isnin, 28 Mac 2016

Azmin sengaja tuding jari kelewatan Projek Langat 2 kepada kerajaan pusat - BN Selangor

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengkritik Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat cuba menyalahkan kerajaan pusat apabila mengaitkan bekalan air kritikal di negeri itu berpunca daripada kelewatan Projek Langat 2.
 
Penyelaras ADUN BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan menegaskan kerajaan pusat tidak pernah berlengah dalam menyiapkan Projek Langat 2 demi memberi kemudahan air kepada rakyat negeri itu.
 
ADUN Batang Kali itu juga memaklumkan, sebaliknya Azmin sendiri yang seolah-olah sengaja tidak mahu mempercepatkan proses menandatangani perjanjian Projek Langat 2.
 
"Pada saya, beliau membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, saya menafikan bahawa kerajaan pusat melambatkan atau melewatkan usaha memberikan kemudahan air kepada rakyat Selangor.
 
"Sedangkan semua orang tahu di dalam beberapa Sidang DUN sebelum ini kita telah membangkitkan isu air dan hari ini beliau (dilihat) agak tersepit dengan keadaan cuaca yang agak panas dan mungkin akan berlaku sekali lagi krisis air.
 
"Maka Azmin cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap kerajaan pusat, hendak menampakkan kerajaan pusat pula yang salah," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Yang ke-13, pagi tadi.
 
Terdahulu, Azmin pada Jumaat lalu mendakwa Selangor akan menghadapi masalah bekalan air pada 2017 hingga 2019, gara-gara kelewatan menyiapkan Projek Langat 2.
 
Keadaan itu memaksa kerajaan negeri menggunakan sebahagian peruntukan dari Projek Langat 2 untuk membina dua loji rawatan lain.
 
Dua loji berkenaan yang berjumlah hampir RM800 juta ditempatkan di Labohan Dagang dan Semenyih dan dijangka siap pertengahan 2017.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.