Jumaat, 25 Mac 2016

Ahli Parlimen DAP dakwa SPRM serbu pejabat Lim

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik hari ini mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengubah rancangan dan memilih "menyerbu" Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di tingkat 28, bangunan Komtar, semalam.

Menurut Ng, sehari sebelum itu, SPRM melalui satu kenyataan media menjemput Lim Guan Eng untuk “datang pada bila-bila masa" untuk membantu dalam siasatan berkaitan pembelian sebuah banglo milik ketua menteri itu pada RM2.8 juta di Jalan Pinhorn.

"Tetapi keesokan harinya, pegawai SPRM mengubah rancangan mereka dan memilih untuk menyerbu pejabat KM di tingkat 28, Komtar.

"Mengapa SPRM berdolak-dalih dengan cara supaya Lim membantu siasatan?" soal Ng yang juga adalah setiausaha publisiti DAP negeri, dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini berada di pejabat Lim sekitar jam 3 petang semalam tetapi gagal melihat dua pegawai SPRM yang datang ke pejabat ketua menteri itu.

Mereka beredar pada kira-kira jam 5 petang.

Kedua-dua pegawai itu dipercayai meneliti beberapa dokumen yang berkaitan dengan banglo kontroversi yang didakwa dibeli Lim di bawah harga pasaran.

Ini adalah lawatan kedua bagi kakitangan SPRM juga telah mengunjungi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Walau bagaimanapun, Lim ketika itu masih di Kuala Lumpur bagi menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat dan hanya pulang ke Pulau Pinang hari ini untuk mesyuarat dengan semua wakil rakyat DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.