SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) berpendapat mana-mana parti
politik di negara ini hendaklah bersikap terbuka dalam menghadapi
persaingan daripada musuh mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum
(PRU) yang akan datang.
Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir berkata tiada pihak yang boleh
menyekat mana-mana parti untuk bertanding di mana-mana kawasan, termasuk
kawasan kubu kuat PAS.
"Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bertanding menentang Amanah dalam pilihan raya yang akan datang.
"Ini sistem demokrasi bukan namanya demokrasi jika kita hendak
mengehadkan perlawanan maknanya kita hendak menang sendiri dan jika
begitu tidak perlu adakan pilihan raya.
"Jadi kita kena alu-alukan pertandingan dengan baik dan tidak ada siapa
boleh sekat sesiapa hendak bertanding di mana-mana. Dia sebagai parti
kena fikir jika dia boleh bertanding di situ maka silakan,"katanya
kepada Antarapos hari ini.
Anuar juga menasihati semua parti di negara ini supaya tidak saling
bermusuhan dan berusaha untuk menghancurkan antara satu sama lain.
"Saya bagi pihak parti Amanah Negara atau singkatan kami Amanah
mengalu-alukan siapa-siapa sahaja mari kita bertanding sebagai parti
yang bertamadun dalam masyarakat yang bertamadun.
"Kita hidup di kurun yang baru jadi bukan suasana permusuhan, benci
membenci dan usaha untuk memusnahkan antara satu sama lain kita kena
jadi negara yang betul-betul maju dari segi pengamalan
demokrasi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha
Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengalu-alukan PAN untuk
bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN yang diwakili Pas, pada pilihan
raya umum akan datang.
Menurut Takiyuddin, Pas tidak mempunyai kaitan langsung dengan parti
itu walaupun ramai pemimpin dan anggota PAN terdiri daripada kalangan
bekas anggota PAS.
Beliau yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan PAN
untuk meletakkan calon mereka diyakini tidak akan menjejaskan undi yang
diterima PAS sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.