Khamis, 18 Februari 2016

Srikandi cabar anak Zahid berdebat mengenai pekerja asing

MALAYSIAKINI




Srikandi (sayap puteri) PKR hari ini mencabar anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk debat terbuka mengenai pekerja asing.

Ini susulan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang terheret dalam debat berhubung rancangan bapanya untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

“Srikandi PKR dengan ini memanjangkan jemputan untuk mencabar Nurulhidayah Zahid Hamidi untuk ke pentas debat terbuka diantara beliau dengan Ketua Srikandi PKR Senator Siti Aishah Shaik Ismail bagi beliau menjawab segala persoalan yang telah dibangkitkan.

“Kepada Nurulhidayah saya mengharapkan beliau menerima cabaran debat ini dan jangan hanya lagak berkokok di media semata-mata,” kata Naib Ketua Srikandi, Farah Afzan Faridi dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Farah, kenyataan Nurulhidayah dan ayahnya sebelum ini mengenai cadangan membawa masuk pekerja asing adalah tindakan yang biadap kerana menjadikan rakyat dan golongan belia sebagai sasaran terhadap sindiran mereka.

“Komen yang dibuat oleh Nurulhidayah yang tanpa asas itu turut menghina dan memperlekehkan golongan belia.

“Persoalannya, siapa beliau untuk mengeluarkan komen yang sebegitu dan sebagai ikon belia jelas beliau juga gagal untuk mempertahankan kepentingan rakyat khususnya golongan belia di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid mempertahankan cadangannya mengambil pekerja asing dan mencabar belia di negara ini untuk bersedia menerima "pekerjaan kotor" untuk membuktikan dakwaannya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.