shahbudindotcom
Walaupun
kedudukan Najib Razak kelihatan selamat di dalam negara berikutan
keputusan Peguam Negara membebaskannya daripada sebarang salah laku
jenayah berkaitan kemasukan wang beribu-ribu juta ke akaun peribadinya,
isu berkaitan 1MDB nampaknya belum berakhir lagi.
Ini
berikutan pejabat Peguam Negara Switzerland tiba-tiba mendedahkan telah
menemui bukti berkaitan pemindahan wang yang mencurigakan berjumlah
kira-kira RM16,800 juta yang dikaitkan dengan 1MDB melalui institusi
kewangan negara itu.
Sehubungan itu, bukti
penting tersebut akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara Malaysia
dalam masa terdekat ini, sambil Peguam Negara Switzerland berharap
bantuan selanjutkannya akan diberikan bagi menentukan kebenaran tentang
penemuan tersebut.
Sementara kita semua
menanti-nanti apakah bukti penting yang dimiliki oleh pejabat Peguam
Negara Switzerland itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua
semalam segera menyoal apakah derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun
peribadi Najib merupakan sebahagian daripada wang yang ditransaksi
secara haram yang berjumlah RM16,800 juta itu?
Sehingga ini, soalan Tony Pua itu belum lagi dijawab sama ada oleh 1MDB mahu pun Peguam Negara, Apandi Ali.
Berkaitan
penemuan oleh pihak berkuasa Swirzerland pula, 1MDB hanya memberikan
"jawapan selamat" iaitu mereka tidak pernah dihubungi oleh mana-mana
pihak untuk bertanyakan lebih lanjut berkaitan perkara itu.
Tetapi,
agak pelik mengapa 1MDB tidak berani menyanggah secara terang-terang
penemuan bukti yang diperolehi oleh Peguam Negara Switzerland itu
sebagaimana yang kerap dilakukan sebelum ini demi memperlihatkan
syarikat itu benar-benar tidak ada "kong-kali-kong" dalam urusniaganya.
Persoalan
juga timbul, apakah transaksi haram yang ditemui oleh Peguam Negara
Switzerland itu turut sama dapat dikesan oleh Ketua Audit Negara yang
sedang melakukan audit terhadap 1MDB?
Begitu
juga, apakah isu berkaitan wang sebanyak RM16,800 juta itu akan turut
menjadi fokus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC yang
sedang dalam proses menyiasat syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh
Najib itu?
Dengan penemuan bukti oleh Peguam
Negara Switzerland itu, pastinya ramai yang kembali terjaga dan
menggigau di tengah-tengah malam memikirkan nasib dan ketentuan takdir
di masa hadapan.
Apatah lagi, menurut seorang
peguam, N Sivananthan, adalah amalan biasa bagi pihak pendakwaan di
Switzerland membuat pengumuman secara terbuka sesuatu kes jenayah
berprofil tinggi kerana mereka mengamalkan ketelusan yang tinggi serta
untuk memastikan orangramai mengetahui setiap perkembangan kes yang
sedang disiasat.
Dalam hal ini, sebagaimana
yang sudah sudah dinyatakan semalam, Peguam Negara Malaysia haruslah
mengotakan janjinya untuk memberi kerjasama sewajarnya kepada rakan
sejawatannya di Switzerland bagi menegakkan kebenaran dan keadilan
berkaitan transaksi wang yang mencurigakan itu.
Bermakna,
sebarang hasilnya nanti, setelah bukti itu diserahkan kepada Peguam
Negara kita, ia pasti akan didedahkan secara terbuka sekali lagi kepada
seluruh dunia.
Tidak semestinya penemuan itu
menjurus berkaitan Najib, tetapi tentulah apa saja bukti salah laku
berkaitan 1MDB akan memberikan tempias kepadanya juga.
Selain
itu, apakah setelah Switzerland, pihak berkuasa negara-negara lain
seperti London, Hong Kong, Perancis, AS, Singapura dan sebagainya akan
turut menemui bukti-bukti yang mencurigakan juga berkaitan 1MDB selepas
ini?
Jika itu berlaku, bagaimanakah imej negara dan Najib di mata dunia?
Setidak-tidaknya
penghargaan harus diberikan kepada Khairuddin Abu Hassan dan Matthias
Chang yang gigih membuat laporan ke pelbagai negara sebelum ini,
meskipun mereka "sengsara" disosmakan kerananya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.