PETALING JAYA - PKR hari ini menuntut pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan kepada rakyat berhubung pembelian saham dalam syarikat pembuat roti, Silverbird Group Berhad pada tahun 2007 yang menyebabkan TH kerugian kira-kira RM 98 juta.
Naib Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa TH membeli saham di syarikat pembuat roti High-5 itu pada harga yang cukup tinggi dalam tempoh kurang sebulan.
"Kenapa TH membeli saham Silverbird secara mendadak hingga melonjakkan harga sahamnya dalam tempoh sebulan dari 39 sen sesaham (awal September 2007) kepada RM1.08 sesaham pada 16 Oktober dan menyebabkan TH membayar premium 177 peratus?
"TH mula membeli saham-saham Silverbird secara agresif dan tidak sampai sebulan TH muncul sebagai pemegang saham terbesar Silverbird pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Beliau mendakwa, prestasi operasi kewangan Silverbird merudum selepas itu dan menjelang tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2011, syarikat itu mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM44 juta.
Mengambil kita harga asal saham Silverbird 39 sen seunit, Rafizi membuat anggaran pelaburan TH dalam Silverbird ketika itu mencecah RM 98 juta untuk 28.81 peratus sahamnya.
"Bagaimana TH boleh buat kesilapan pelaburan sehingga rugi RM 98 juta pelaburan asal pada tahun 2007?
"Berapa jumlah sebenar pelaburan dan kerugian terkumpul TH dalam Silverbird setakat ini dan siapakah yang telah dihadapkan ke muka pengadilan akibat kesilapan ini?" soalnya lagi.
Menurutnya, angka RM 98 juta pada hari ini mungkin tidak banyak namun pada tahun 2007 angka itu sangat bernilai.
"Nilai saham kini adalah sekitar 4 sen seunit yang menyebabkan keseluruhan pelaburan TH hangus begitu sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.