Exco Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata ramai individu di negeri itu pakar mengenai agama dan masyarakat Islam di Johor tidak memerlukan orang luar untuk menjadi penceramah.
Beliau
berkata demikian ketika ditanya mengenai dokumen oleh Majlis Agama
Islam Johor (MAIJ) kepada Sultan Johor yang melarang 16 individu
berceramah di negeri itu.
“Ini bukan isu dokumen, ini isu penceramah yang tak dibenarkan berceramah di Johor.
“Di Johor pun ramai lagi orang yang pandai agama, Johor
mesti jadi Johor (dan) tidak perlu orang luar datang kalau kita tak
benarkan,” kata Abdul Mutalip ketika dihubungi Malaysiakini.
Antara yang tersenarai dalam dokumen itu adalah Mufti
Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pemuda Umno dan
penceramah bebas Dr Fathul Bari Mat Jahaya.
Dokumen itu menyebut terdapat sebilangan penceramah dari
luar Johor yang berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau
atau tempat awam boleh menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan
masyarakat khususnya umat Islam.
Selain itu, ajaran mereka juga didakwa tidak berteraskan ajaran Sunnah Wal Jamaah.
Dokumen itu juga menyatakan majlis agama Islam bersetuju
menerima cadangan supaya penceramah yang disenaraikan dilarang
berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.
Mengulas lanjut, ADUN Layang-Layang itu berkata kerajaan
negeri berhak menentukan siapa yang boleh berceramah di negeri Johor
berlandaskan undang-undang.
“Kerajaan (negeri) berhak untuk menentukan siapa yang
boleh berceramah atau menyampaikan agama di Johor, berdasarkan enakmen
yang ada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.