Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi menyangkal dakwaan pembangkang bahawa pelaburannya dalam firma kontroversi, 1MDB menimbulkan risiko yang tinggi.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dari segi pendedahan ia hanya adalah risiko yang amat rendah.
"Jika rakyat mahu, mereka boleh andaikan itu (pembelian loji kuasa 1MDB pada tahun 2012 dan 2013) sebagai pendedahan, tetapi dari sudut pandangan kami, ia adalah risiko yang amat rendah.
"Ia tidak berbeza daripada pendedahan kami dengan loji kuasa lain, seperti Malakoff atau yang pernah dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya pada taklimat media mengenai Dividen KWSP 2015.
Menurut Shahril, aliran tunai 1MDB dibiayai daripada hasil jualan dan firma milik kerajaan itu tidak pernah terlepas bayarannya dan tidak pernah mengalami penurunan kredit.
1MDB pada tahun 2009 menerbitkan bon bernilai RM5 bilion dan KWSP terbabit dengan membeli sebanyak RM200 juta. Bon berkenaan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Pada Oktober tahun lalu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa pelaburan KWSP dalam 1MDB terdedah dengan risiko tinggi berdasarkan kadar faedah yang tinggi dan kuantum pelaburan sebanyak RM1.72 bilion.
Shahril, bagaimanapun berkata keadaan akan berubah apabila 1MDB menjual aset tenaga kepada syarikat asing dan pemegang bon tidak akan kerugian. Malah katanya, tindakan itu adalah tidak berbeza daripada mana-mana amalan lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.