Sabtu, 27 Februari 2016

Muhyiddin nafi beliau gagal jalankan tugas selaku Timbalan Presiden

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno, hari ini menafikan dakwaan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu bahawa beliau tidak menjalankan tugas membantu  Datuk Seri Najib Razak.
 
Muhyiddin sebaliknya berkata, beliau dihalang dalam melakukan tugas untuk membantu Presiden Umno sejak digugurkan dari Kabinet, Julai tahun lalu.
 
"Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung," katanya dalam Facebook beliau.
 
Malah keputusan MT Umno semalam yang menggantung jawatan Timbalan Presidennya sudahpun dijangka beliau.
 
"Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan," jelas beliau.
 
Semalam MT Umno sebulat suara menggantung Muhyiddin kerana beliau didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya mengikut perlembagaan parti.
 
Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menyertai perbahasan usul menggantung Muhyiddin bagi mengelak sebarang konflik atau prasangka.
 
Muhyiddin berkata beliau telah melaksanakan tugasnya sebagai timbalan presiden parti sebaik mungkin.
 
"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. 
 
"Saya mengetuai jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) dalam setiap kali pilihan raya kecil atau pilihan raya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?," soal Muhyiddin.
 
Semalam ahli MT Umno mengambil pendekatan untuk menggantung Muhyiddin selari dengan Fasal 9.8.2.1 Perlembangaan Umno.
 
Peruntukan itu menetapkan tugas utama Timbalan Presiden adalah untuk membantu Presiden. 
 
Keputusan tersebut dibuat di kalangan ahli MT tanpa dihadiri Presidennya Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Muhyiddin sebelum ini kerap kali lantang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Najib dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu derma RM2.6 bilion. 
 
Muhyiddin berkata beliau tidak akan memberi sokongan secara 'membuta tuli'. 
 
"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan," katanya. 
 
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan menggantung Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno terpaksa dibuat untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Katanya, jika Muhyiddin terus dibiarkan membuat kenyataan bercanggah dan memburukkan imej parti, peluang untuk Umno memenangi pilihan raya akan datang semakin tipis.
 
"Kita terpaksa membuat keputusan ini untuk masa depan parti. Jika kita biarkan beliau terus memburukkan imej parti, semakin kecillah peluang kita untuk menang PRU akan datang," ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), katanya semalam.
 
Perkara sama turut disuarakan Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
 
Hishamuddin berkata penggantungan jawatan Muhyiddin Yassin perlu dilihat sebagai usaha untuk mengukuh parti.
 
Menurutnya, keputusan yang dipersetujui secara konsensus oleh semua ahli MT itu diharap dapat menggerakkan parti ke hadapan dan tidak lagi terkesan dengan krisis dalaman seperti sebelum ini.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.