Ahad, 21 Februari 2016

MB Kelantan: Amanah parti ‘kacau daun’

MB Kelantan: Amanah parti ‘kacau daun’
Mohd Ammar (lima kiri) bersama pimpinan Pas Kelantan dalam majlis Pelancaran Jentera Parti sempena PRU14 semalam.


KOTA BHARU - Pas Kelantan mengingatkan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya tidak terlalu bercita-cita tinggi kerana jelas tidak berupaya merampas Kelantan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

 Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Amanah hanya wujud sebagai pihak ‘kacau daun’ dan hanya memberi ruang kepada pihak lawan Barisan Nasional (BN)  untuk menakluk negeri ini.

 “Lagipun Amanah tidak akan bertahan lama sama ada di Kelantan malah di luar Kelantan dan ia hanya wujud atas rasa kecewa dari pimpinannya yang juga dari Pas.  Perjuangan mereka juga rapuh dan tiada hala tuju,” katanya.

 Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hadir majlis pelancaran jentera Pas Kelantan sempena PRU-14 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa di sini semalam.

 Sebelum ini Presiden Amanah, Muhammad Sabu ketika berceramah di negeri ini menyatakan keyakinan parti itu  mampu mengambil alih Pas Kelantan kerana rakyat negeri ini bijak dalam membuat percaturan politik.

 Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, Pas Kelantan menyerahkan nasib bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang secara lantang mengkritik parti terbabit kepada jawatankuasa tatatertib bagi sebarang tindakan lanjut.

 “Kita tunggu sebarang tindakan daripada jawatankuasa terbabit untuk sebarang keputusan. Segalanya ditentukan pihak berkenaan dan kita hanya tunggu maklumat susulan memandangkan aduan telah dilaporkan," katanya.

 Ditanya mengenai masa depan Husam dalam Pas, Mohd Amar berkata, kini terserah kepada parti selain Husam sendiri sendiri dalam menentu hala tuju perjuangannya.

 “Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian atau keputusan lagipun isu beliau dalam parti masih belum selesai lagi,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.