Khamis, 25 Februari 2016

Kemungkinan pengaruh politik melantik Gabenor BNM

Satu lagi teka-teki yang masih belum terjawab, Gabenor BNM yang baharu. Siapa sekalipun biarlah 'dia' seorang yang benar-benar layak dan tidak berpihak kepada sesiapa tetapi hanya kepada keadilan dan kebenaran.

zeti


Siapakah yang paling layak ganti tempat Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara pada April ini?

Anggap ini satu permainan, untuk meneka bakal individu yang akan bertanggungjawab mengendalikan urusan dan hal ehwal bank mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah.

Siapa yang layak, selayak Zeti atau mungkin lebih daripada beliau?

Saban hari, Awang Selamat dalam kolumnya menamakan tiga tokoh yang menurutnya berkemampuan menggantikan tempat Zeti.

Mereka adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia ke AS Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Walaupun ia kontra dengan kenyataan Zeti sendiri bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik sepertimana institusi perbankan lain, nampaknya masih ada nama-nama (calon) orang politik dalam senarai tersebut.

Terdahulu Zeti berkata, bagi sebuah bank yang mewakili negara, langkah tidak mengambil individu dengan pengaruh politik penting bagi mendapatkan kepercayaan pelabur.

“Setiap negeri memerlukan sebuah organisasi seperti bank pusat yang tidak terikat dengan perkembangan politik atau agenda politik dan perlu kekal fokus untuk memastikan kestabilan ekonomi.. supaya polisi kewangan akan menjadi yang terbaik kepada negara,” petik kata Zeti.

Tetapi perseoalannya di sini, sejauh mana nasihat dan cadangan Zeti bakal digunapakai oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menentukan Gabenor BNM yang baharu?

Jika orang politik dalam senarai pendek Gabenor BNM, apa impaknya?

Apakah melantik orang politik dalam badan seperti BNM ini khususnya pada waktu seperti ini, akan menjadi satu langkah kiri kepada kerajaan yang sudah sedia terpalit dalam pelbagai tuduhan dan skandal?

Ikutkan, seeloknya kerajaan mempertimbangkan cadangan Zeti serta tradisi BNM selama ini. Tiada pengaruh politik, bebas dan independent.

Namun, masih ada ura-ura yang menamakan orang politik, lagi-lagi mereka yang rapat dengan pemimpin nombor satu kerajaan sebagai calon yang sesuai.

Persoalannya bagaimana pilihan ini akan memberi kesan kepada kewangan dan ekonomi negara serta kementerian yang berurusan dengan kewangan negara dan juga pemimpin negara?

Saya tidak mengerti membuat analisis, cuma saya sudah mula merasa kepanasan kerusi gabenor yang selama ini tidak pernah menjadi perhatian sebesar ini.

Kehebatan Zeti menerajui kerusi tersebut sejak Mei 2000 hingga sekarang tidak boleh dipersoal. Beliau telah meletakkan satu standard baharu dan tinggi dalam kalangan Gabenor dunia apabila pernah memenangi pelbagai anugerah ekoran kejayaan dan kemampuan beliau menerajui BNM.

Oleh itu, penggantinya mestilah seorang yang selari dengan sifat dan kemampuan Zeti, dan tentunya tidak berpihak kepada mana-mana individu.

Zeti pernah menyatakan bahawa beliau yakin BNM akan diterajui oleh orang bukan politik kerana ahli Lembaga badan itu tidak diduduki oleh orang politik. Itu keyakinan beliau sekali gus memberi jaminan bahawa kemungkinan besar ia akan diganti dengan orang dalam lembaga. Namun sejauh mana ia mampu berlaku?

Kita bukan tidak tahu betapa badan-badan berkanun lain yang diduduki orang berpengaruh politik kini dalam pelbagai konflik dan skandal. Walaupun belum pasti benar atau tidak, ramai yang menunjukkan rasa kurang puas hati dengan keterlibatan nama-nama tertentu yang dikhuatiri menjahanamkan badan tersebut.

BNM bukanlah satu badan yang boleh diambil mudah, kerana ia membawa imej kewangan negara, justeru individu yang dilantik sebagai gabenor sangat penting.

Tambahan pula Zeti menyatakan beliau berharap siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dimuktamadkan sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir pada April supaya beliau menyerahkan rekod yang bersih kepada gabenor yang akan datang.

Walaupun siasatan skandal tersebut dapat diselesaikan dalam masa dua bulan satu lagi persoalan, tetapi bakal Gabenor akan datang perlulah bersedia dengan segala kemungkinan ditambah dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar. Jangan pula calonnya seperti kata pepatah, ‘Harapkan pegar, pegar makan padi pula’.

Sebagai seorang rakyat biasa, saya juga ternanti-nanti dengan penuh teruja dengan nama calon BNM yang bakal disebut oleh Najib dengan harapan yang sama, bukan daripada individu berpengaruh politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.