KOTA BHARU: Datuk Husam Musa boleh dikenakan hukuman tatatertib sama
ada dilucutkan jawatan atau dipecat daripada PAS, demikian kata
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.
Memetik laporan Bernama, ulas Takiyuddin, ADUN Salor itu tidak mustahil
dikenakan hukuman berikutan tindakannya yang kebelakangan ini dilihat
banyak menghentam parti itu.
Malah kata Takiyuddin, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya.
"Husam boleh dikenakan hukuman tatatertib sama ada dilucutkan jawatan
dalam parti, digantung keanggotaan mahupun dipecat daripada parti,"
katanya.
Sementara itu Takiyuddin berkata PAS mengalu-alukan Parti Amanah Negara
(PAN) untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) yang diwakilinya.
Beliau berkata PAS tidak mempunyai kaitan langsung dengan parti itu
walaupun ramai pemimpin dan anggota PAN terdiri daripada kalangan bekas
anggota PAS.
"(PAN) tak ada kena mengena dengan kita dan dia tak perlu nak 'consult'
dengan kita pun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah
terbuka Tahun Baru Cina anjuran Presiden Kehormat Gabungan Pertubuhan
Tionghua Kelantan Datuk Chan Chia Ling.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Pengerusi PAN Selangor Ir Izham Hashim sebelum ini dilaporkan berkata
parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN yang
diwakili PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.