BERNAMA
Mohd Saifulrizal hadir ke pejabat Pengarah DCA hari ini, untuk menjelaskan beberapa isu berkaitan Bayu Air. - Foto Bernama
PUTRAJAYA, Bayu Air akan mengemukakan permohonan permit dan lesen untuk beroperasi sebagai syarikat penerbangan sewa khas kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd
Saifulrizal Raffien berkata, Bayu Air yang dimiliki syarikat bumiputera,
Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, akan menghantar permohonan Permit
Perkhidmatan Udara (ASP) dan Lesen Operasi Penerbangan (AOC) itu, pada
14 Mac ini.
“Pasukan kami yang berpengalaman dalam
permohonan ASP dan AOC sedang membuat persiapan. Kami akan sediakan
dokumen yang lengkap untuk DCA,” katanya kepada Bernama hari ini.
Teradahulu, Mohd Saifulrizal mengadakan
pertemuan dengan Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman bagi
menjelaskan prapelancaran Bayu Air dan sidang media pada 16 Februari
lalu di Kuala Lumpur.
Bayu
Air dilapor merancang memulakan operasi pada Ogos ini menggunakan tiga
pesawat Boeing 777-200, dengan laluan utama ke Jeddah dan Madinah untuk
destinasi umrah, selain laluan pelancongan ke China.
Ahad lepas, Azharuddin memaklumkan, DCA
tidak menerima sebarang permohonan, sama ada bagi permit mahupun lesen
untuk beroperasi daripada Bayu Air.
Azharuddin juga dilaporkan sebagai
berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Bayu Air, kerana membuat
pengumuman berhubung permulaan operasi, sebelum memohon dan mendapat
kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.
Mengulas perkara itu, Mohd Saifulrizal
menjelaskan, prapelancaran tersebut hanya satu majlis untuk
memperkenalkan Bayu Air sebagai syarikat penerbangan sewa khas kepada
agensi pelancongan dan media mengenai pelan cadangan operasi.
Beliau juga menegaskan, Bayu Air tidak
berniat melanggar peraturan 10 dan 17 Akta Penerbangan Awam atau
membelakangkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penguatkuasaan
undang-undang dan peraturan Malaysia.
“Pengurusan Bayu Air memohon maaf atas
isu-isu yang berbangkit dan semua ini adalah atas kelemahan kami, kerana
tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak DCA terlebih dahulu,”
katanya.
Mohd Saifulrizal berharap, permohonan permit dan lesen untuk beroperasi itu akan berjalan lancar.
“Kami yakin dapat memperoleh permit dan lesen operasi untuk membolehkan kami beroperasi pada Ogos,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.