PUTRAJAYA: Dua badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) akan bertemu dengan Peguam Negara pada 18 Februari ini
untuk membincangkan mengenai pelbagai isu melibatkan kedua-dua pihak
termasuk keputusan siasatan SRC International dan derma politik RM2.6
bilion.
Pertemuan pada Khamis minggu depan akan dihadiri ahli Lembaga Penasihat
SPRM, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Peguam Negara Tan Sri
Mohamed Apandi Ali dan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.
Walaupun timbul cakap-cakap bahawa badan pemantau SPRM itu akan duduk
berbincang dengan peguam negara bagi membincangkan secara khusus
kedua-dua kes yang melibatkan perdana menteri, difahamkan pertemuan ini
diatur sebelum pengumuman Mohamed Apandi terhadap isu tersebut.
Namun, sumber yang mengetahui tentang mesyuarat itu berkata terdapat
'kemungkinan besar' Mohamed Apandi akan ditanya mengenai keputusannya
terhadap SRC International dan derma politik RM2.6 bilion itu.
Pada 26 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara melepaskan Datuk Seri Najib
Tun Razak daripada sebarang salah laku jenayah berhubung kes SRC
International dan derma politik RM2.6 bilion.
Malah menurut Mohamed Apandi, ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua
kes berkenaan akan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ia
ditutup.
Ketika dihubungi, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM,
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata mesyuarat tersebut adalah untuk
menyelesaikan sebarang salah faham antara peranan suruhanjaya itu dan
Jabatan Peguam Negara.
"Dari semasa ke semasa, terdapat perbezaan pendapat berhubung
pendakwaan kes. Ini (mesyuarat) adalah bagaimana kita mendapatkan
penjelasan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu SPRM dan
Jabatan Peguam Negara," katanya kepada The Star.
Beliau berkata terdapat kes sama ada oleh SPRM atau polis tidak boleh didakwa kerana kekurangan bukti dan siasatan yang lemah.
"Kami mahu mengelakkan perkara ini suapaya akan ada perubahan dalam
persepsi orang ramai. Buat masa ini, orang ramai membuat andaian mereka
sendiri mengenai kenapa Jabatan Peguam negara tidak membawa beberapa kes
ke mahkamah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.