shahbudindotcom
Perlantikan
Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Ahmad Maslan
kini semakin difahami berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkannya
sejak akhir-akhir ini.
Beliau
tidak lain untuk dijadikan senjata paling depan menyerang Tun Mahathir
Mohamad yang terus lantang mengkritik kepimpinan Najib Razak.
Untuk
rekod, Annuar bukan saja pernah menjadi menteri di era Tun Mahathir
selepas pilihanraya 1990, bahkan menjadi pemimpin Kelantan paling
lantang menyerang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Presiden UMNO
tahun 1987.
Dalam pemilihan itu, Tun Mahathir berjaya menewaskan Ku Li dengan kelebihan 43 undi.
Ketika
timbulnya isu Raja-Raja yang membabitkan pindaan perlembagaan, Annuar
Musa juga menjadi antara yang paling ke depan menyokong usaha Tun
Mahathir dan kerajaan ke arah itu.
Pendeknya,
kelantangan dan kepetahan berpidato Annuar bukanlah luar biasa selama
beberapa lama ketika Tun Mahathir merupakan "bossnya".
Annuar,
dalam perjalanan karier politiknya lebih dikenali sebagai orang Tun
Mahathir sehingga dapat menjadi menteri penuh ketika berusia dalam
lingkungan pertengahan 30an.
Kini,
dengan melantiknya sebagai Ketua Penerangan UMNO, Najib dilihat lebih
mahu memanfaatkan kemampuan Annuar itu untuk menyerang balik bekas
"bossnya" yang pernah berjasa kepadanya itu.
Beberapa
kenyataan Annuar yang membandingkan tindakan Tun Mahathir ketika
berkuasa dengan Najib sekarang serta serangannya kepada Mukhriz yang
didakwanya tidak pernah bersuara dalam mesyuarat MT UMNO, tidak lain
memperlihatkan kecenderungan ke arah itu.
Dalam
kunjungannya ke Perak dan Kedah baru-baru ini, Annuar juga dengan
jelas mahukan UMNO bersikap menyerang dan bukan lagi defensif
sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini.
Beliau juga mengajak semua pihak dalam UMNO terus mempertahankan institusi presiden yang kian teruk diserang dan dipertikaikan.
Sebelum
itu, Annuar turut mengulas panjang tulisan Tun Mahathir dalam blognya
yang mengkritik Peguam Negara dengan menyifatkannya suatu bentuk hasutan
dan berikutan beberapa laporan polis sudah dibuat, Ketua Polis Negara,
Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya akan menyiasat bekas Perdana
Menteri itu berkaitan jenayah fitnah.
Sebagaimana
dulunya Annuar sentiasa ke depan menyerang Ku Li dan Sultan Kelantan,
jawatan baru dan peredaran masa seterusnya akan memperlihatkan begitulah
juga Ahli Parlimen Ketereh itu akan "membalun dan membelasah" Tun
Mahathir.
Aktifnya
Annuar membela dan mempertahankan Najib dengan jawatan barunya sekarang
sambil cuba membandingkannya dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tun
Mahathir dahulu, Perdana Menteri kini seolah-olah sudah ada "senjata
baru" untuk menyerang balas pengkritik utamanya itu.
Secara
langsung, ia juga memperlihatkan "senjata lama" seperti Salleh Said
Keruak, Abdul Rahman Dahlan dan lain-lain yang selama ini banyak
menghabiskan masa mennyerang Tun Mahathir, semakin tumpul di mata Najib.
Pendekatan
Annuar pula tidak memperlihatkan sama sekali keinginan untuk membaik
dan menjernihkan semula hubungan Tun Mahathir dengan Najib, sebaliknya
terus menyerang dan menyerang sehingga mungkin "seorang jadi abu,
seorang lagi jadi arang."
Tidak
menghairankan juga jika dalam waktu terdekat ini Tun Mahathir akan
ditangkap dan disiasat berikutan jalan ke arah itu sudah pun ditunjukkan
oleh Annuar yang menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai
menghasut.
Jika
ditangkap, bukan persoalan apa jadi kepada Tun Mahathir yang menjadi
isunya, tetapi yang lebih ingin disaksikan ialah apa jadi kepada Najib
selepas itu?
Adakah Najib makin selesa atau makin terjerut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.