Jumaat, 29 Januari 2016

Umno Tanjung Malim jawab poster 'mana satu bohong?'

MALAYSIAKINI


 


Ketua Umno Tanjung Malim Khusairi Talib menafikan beliau berkata “yakin wang RM2.6b telah dibelanjakan sepenuhnya untuk Umno”, seperti disebar meluas di Internet.

“Sebenarnya apa yang saya katakan adalah tidak mustahil wang itu telah dibelanjakan untuk kempen BN menghadapi PRU13 berdasarkan sikap amanah (Datuk Seri) Najib (Razak) menunaikan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Kenyataan beliau itu dimuat naik kembali ke laman pro-BN MYKMU hari ini.

Ia dibuat setelah petikan yang didakwa disalah petik itu digandingkan bersama kenyataan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali bahawa Najib memulangkan AS$620 (RM2.03 bilion) daripada AS681 (RM2.08 bilion) kepada keluarga diraja Saudi.

Kapsyen bertulis “Mana satu bohong?” juga ditulis bersama-sama kenyataan itu.

Penafian Khusairi hari ini bagaimanapun dibuat selepas kira-kira lima bulan selepas bercakap dengan pemberita melalui telefon pada 15 Ogos tahun lalu.

Marah 'pencacai'
Sementara itu, menjelaskan kenyataannya itu, beliau berkata Najib sebagai pengerusi BN bukan sahaja menjaga Umno, tetapi juga parti-parti komponen lain bagi memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar.

“Itu belum diambil kira sebilangan besar NGO yang juga mengharapkan sumbangan dana daripada beliau,” katanya.

Beliau juga berkata tidak hairan kenapa keluarga diraja Arab Saudi mahukan dana itu disalurkan terus ke akaun peribadi Najib, atas keyakinan terhadap sikap amanah beliau.

“Mungkin sebelum ini mereka pernah berurusan perkara yang sama dengan pemimpin lain, dengan menyalurkan dana melalui individu perantara yang akhirnya lesap entah ke mana,” katanya.

Beliau justeru mengecam pengedaran poster yang didakwa memuatkan kenyataan didakwa disalah petik itu di alam maya.

Sewajarnya kenyataan “pencacai” yang didakwa membuat tohmahan terhadap Najib yang patut disebarkan, tambahnya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.