THE RAKYAT POST
Anuar berkata, dua
perhimpunan dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar,
pada Ahad dan Isnin ini. - Foto TRP/ Adib Hakim
KUALA LUMPUR, Empat cawangan Umno di Kedah memberi amaran kepada pemimpin bahagian negeri itu supaya bersedia terhadap tindak balas daripada pengundi, atas cubaan menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Cawangan yang menyuarakan sokongan
terhadap Menteri Besar Kedah itu adalah Jalan Badlishah, Bandar Laguna,
Kg Pinang dan Taman Bunga Raya yang terletak di bawah Bahagian Merbok.
Cawangan terbabit memberi amaran kepada
Umno Kedah yang mereka perlu menerima akibat daripada cubaan
menyingkirkan Mukhriz tanpa mendapat mandat akar umbi.
Pemimpin Umno Cawangan Jalan Badlishah,
Anuar Abdul Hamid berkata, ahli parti yang menyokong Mukhriz akan
menjelajah ke seluruh negeri jelapang padi itu untuk mencapai
bahagian-bahagian Umno lain di Kedah.
“Banyak cawangan Umno di Kedah tidak gembira dengan apa yang berlaku di Kedah.
“Pandangan ketua cawangan perlu diambil kira, apabila melibatkan dasar yang besar dan utama.
“Ketua bahagian tidak berhak memecat
Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tanpa mendapat mandat daripada ahli-ahli
parti di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan bersama,
hari ini.
Tambahnya, Mukhriz adalah ikon anak muda,
bukan sahaja di Kedah, malah di seluruh negara dan tempoh perkhidmatan
Mukhriz yang singkat adalah tidak adil dijadikan pengukur kejayaan
beliau.
Sehubungan itu, mereka mahu Menteri Besar
dan semua exco sedia ada dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14,
untuk terus memajukan Kedah.
Bekas anggota tentera itu berkata, bukti
sokongan kuat rakyat Kedah terhadap Mukhriz, termasuk perhimpunan yang
dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Ahad dan
Isnin ini.
Minggu lalu, pemimpin Umno Kedah yang
diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap
kepimpinan Mukhriz.
Hari ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib
Razak dilaporkan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah di
Istana Darul Aman, pagi tadi dan cadangan tiga nama calon Menteri Besar
Kedah bagi menggantikan Mukhriz tidak ditolak jemaah itu.
Menurut sumber yang dipetik BH Online,
tiga calon itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak,
Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Adun Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi
Abdul Hamid dan Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husin.
Bagaimanapun, nama Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata dikatakan tidak tersenarai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.