Oleh Subky Latif
INI adalah kali keempat saya ke Makkah dan Madinah Munawarah sejak tahun 1984. Perubahan memang banyak dan mengkagumkan. Kebanyakan bangunan lama yang setingkat dua diganti dengan hotel tinggi.
Tidak ada lagi penjaja kecil nasi lemak dan mee segera serial dua di kaki lima bagi sarapan jamaah awam. Jamaah haji dan umrah rata-rata tinggal di hotel yang disediakan makan.
Makkah yang bertanah batu gondol dengan barakah doa Nabi Ibrahim dilimpahi rezeki murah melimpah ruah sekalipun ia didatangi serentak tiga juta orang bagi satu masa.
Inilah kali pertama tidak puas selera dibandingkan dengan bayaran makan yang dikenakan. Makan sedap demi ibadat sebagai tertamu Allah tidak berbangkit. Tetapi setiap pengunjung Haramain dikenakan bayaran makan yang tinggi antara 50 ke 100 rial sekali makan. Dulu kita dikenakan bayaran tempat tidur, boleh cari makan di mana-mana. Sekarang dimasukkan sekali dengan belanja makan. Rugi tidak makan kerana ia sudah dibayar.
Makanan sunnah paling penting ialah air zam-zam dan kurma. Ia tidak disediakan untuk tetamu hotel. Teguklah air itu di masjid baik di Makkah dan Madinah. Apalah salahnya ia disediakan di hotel sebagaimana ia menyediakan lain-lain minuman dan buah-buahan.
Hotel di Makkah itu dipenuhi pengumrah Malaysia, Singapura dan Indonesia. Ada tetamu Arab tetapi makannya di tingkat lain. Cuma tercium asap makanan Arabnya. Makanan disediakan untuk Melayu itu dipercayai masakan Turki, asing bagi lidah dan tekak orang Melayu kampung. Bagi orang gelandangan bagi apa saja mereka makan, tetapi kami bayar mahal. Bukan untuk sekali dua tetapi sepanjang di Makkah dan Madinah.
Bagi menyelerakan lain kali, kena bawa serunding.
Di Madinah lebih menyedihkan. Hotelnya di sisi Masjid Nabawi. 15 langkah dari hotel masuk ke dataran masjid. Hotel 14 tingkat. Lebih 10 bilik setingkat dengan dua lif saja. Bila satu lif diguna mengangkut bagasi penumpang keluar masuk setiap hari, satu lif saja yang dapat diguna. Amat tidak selesa bagi pengguna lif terutama tiba waktu solat.
Hotel ini penuh semua masa. Pelanggannya orang Melayu dari semua alam Melayu. Ruang makannya sempit dan padat. Demi menampung tetamu seramai itu pada waktu puncak ia memerlukan mungkin lima atau enam kali ganda luas ruangnya. Pelanggan terjamin sepanjang musim, apa salahnya disediakan ruang makan yang selesa lapangnya, tidaklah berebut-rebut macam pelarian mengejar makanan.
Sebaik usai solat zohor dan isya, orang berdahulu-dahuluan mengejar meja makan. Jika lambat makanan habis dan terpaksa menunggu. Adapun makanannya amatlah tidak diterima tekak. Yang menghabiskan makanan bukan kerana sedap tapi kerana lapar. Mungkin tekak kucing dan ayam pun tak tertelan. Ramai yang kali pertama datang mengambil makanan penuh pinggan. Makan empat lima suap, ditinggalkan saja. Ia terbuang. Membazir. Membazir kesukaan syaitan.
Pengendali hotel tentu ada pengalaman, ambil tahu tetamu Allah dan Nabi itu selesa atau tidak. Mereka tidak datang untuk menjamu selera, tetapi justeru mereka ditetapkan dengan makanan berbayar tinggi, mereka menyimpan duit lama untuk memenuhi permintaan tuan rumah, tetamu orang awam terpaksa puas hati dengan layanan tidak dengan bayaran yang dikenakan.
Zaman jahiliyah dulu tuan rumah Quraisy bersusah payah menyediakan makan dan minum untuk tetamu haji. Mereka pastikan tetamu selesa dan terlayan.
Islam mesti jauh lebih baik daripada jahilyah. Jangan sampai orang tersangka jahiliyah lebih elok daripada Islam. Ini agaknya yang dikatakan lebih Islam itu dari zaman Nabi, lebih nipis Islamnya.
Kita tahu haji dan umrah tinggi ujiannya. Ini tdak menghalalkan orang Islam boleh abai tanggungjawab kepada tetamu Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.