Jumaat, 1 Januari 2016

Tahun baru, krisis kepercayaan kepada kerajaan masih belum pulih, kata Muhyiddin

THE MALAYSIAN INSIDER


Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun barunya berkata krisis kerajaan masih belum kerana bebanan rakyat dengan kos sara hidup dan pelbagai isu masih gagal dijawab pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Januari, 2016.Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun barunya berkata krisis kerajaan masih belum kerana bebanan rakyat dengan kos sara hidup dan pelbagai isu masih gagal dijawab pentadbiran Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Krisis kerajaan masih belum pulih, kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil kira bebanan yang ditanggung rakyat dengan kos sara hidup dan pelbagai isu masih gagal dijawab pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pesanan tahun barunya, beliau berkata rakyat mahu kerajaan melakukan sesuatu untuk meringankan beban yang mereka hadapi.

"Rata-rata rakyat ingin melihat kerajaan melakukan sesuatu lebih bermakna dan berkesan untuk meringankan beban rakyat yang kian terhimpit dengan masalah ekonomi," katanya dalam perutusan tahun baru di laman Facebooknya.

Timbalan presiden Umno tersebut berkata 2015 juga menyaksikan integriti dan ketelusan tadbir urus negara tercalar, khususnya persoalan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang masih tidak terjawab. " 2015 juga merupakan tahun yang malap bagi Malaysia daripada segi integriti dan ketelusan tadbir urus negara," katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat masih tidak yakin dengan penjelasan mengenai 1MDB memandangkan sehingga hari ini tidak ada pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

"Sehingga kini penjelasan kerajaan mengenai skandal 1MDB masih gagal meyakinkan rakyat. Mereka ingin melihat pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kehilangan wang dan harta negara dalam nilai yang besar dibawa ke muka pengadilan.

"Nampaknya, tirai 2015 dilabuh dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan masih belum pulih," katanya.

Muhyiddin berkata, 2016 menyaksikan rakyat sekali lagi akan berdepan dengan cabaran lebih besar disebabkan keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu.

"2016 pastinya menanti kita dengan cabaran yang lebih getir. Iklim ekonomi dunia masih tidak menentu.

"Harga minyak dunia dijangka jatuh ke paras lebih rendah dan Malaysia, sebagai sebuah negara yang sebahagian hasilnya bergantung kepada sumber minyak, akan terjejas," katanya.

Kesannya, sumber kewangan negara semakin merosot dan akan menyebabkan beban dirasai rakyat, katanya.

"Sumber kewangan kerajaan semakin merosot dan kemampuan kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat semakin terhad," katanya.

Muhyiddin juga menggesa kerajaan tidak hanya menyuruh rakyat berjimat cermat tetapi dalam masa sama mereka masih gagal menangani ketirisan dalam pentadbiran.

"Pemimpin kerajaan juga bertanggungjawab mencegah ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam perbelanjaan kerajaan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.