Jumaat, 1 Januari 2016

Sorotan 2015: Kes dera menggemparkan Malaysia

kes Yaya
Yaya
 

KES penderaan terhadap kanak-kanak bukan isu baharu dalam masyarakat di Malaysia.

Malah, laporan media tempatan mengatakan terdapat hampir 1,500 kes dera berlaku di seluruh Malaysia sejak Januari sehingga Jun 2015.

Tidak cukup dengan itu, beberapa perkongsian termasuk video yang menunjukkan penderaan kanak-kanak di laman sosial sudah cukup untuk mengerikan masyarakat mengenai sesetengah pihak yang kurang rasa simpati terhadap insan kecil seperti bayi.

Walaupun begitu, sesetengah pihak tidak mengambil pengajaran apabila kisah yang menimpa remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16 yang ditemui kurus kering di dalam sebuah rumah pada tahun lepas.

Berikut adalah kronologi berita penderaan yang menggemparkan Malaysia sepanjang 2015.

1) 27 Jun: Kanak-kanak mungkin cacat didera ibu tiri  

Seorang kanak-kanak lima tahun di Kota Bharu disyaki didera bapa kandung dan ibu tiri, selepas suspek berpisah dengan bekas isterinya pada 2013 lalu.

Nur Zuliana Zaara atau Yaya, 5, menderitai kecederaan parah termasuk patah 13 tulang merangkumi tulang rusuk, pinggul, lengan‎.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian jalan kajian terperinci kes Yaya]

Menurut ibu kandung Yaya, hak penjagaan telah diberikan kepada bekas suaminya setelah dia bercerai dengan lelaki itu sejak dua tahun lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

2) 7 Julai: Bayi koma disyaki didera 

Ibu bapa kepada seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang koma dipercayai ditahan bagi membantu siasatan polis.

Bayi tersebut dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani oleh pemilik pusat penjagaan itu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dan dikatakan mengalami pendarahan pada otak dan mata.

3) 22 Julai: Bayi maut terjatuh walker, tapi ada kesan dera  

Manakala di Tampin, seorang bayi perempuan berusia setahun 10 bulan maut selepas didakwa terjatuh dari walker.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, bedah siasat pada awalnya dilakukan di Hospital Tampin dan didapati terdapat kecederaan mencurigakan di tengkorak bahagian belakang kepala.

Bedah siasat kemudiannya dirujuk kepada pakar forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban dan hasil bedah siasat mendapati terdapat dua keretakan di tempurung belakang kepala sepanjang 12 sentimeter dan lapan sentimeter.

Selain kesan keretakan berkenaan, terdapat kesan lebam baru di dahi dan hidung bayi perempuan berkenaan. Terdapat juga beberapa kesan lebam lama di kedua tangan dan kaki kiri mangsa.

Susulan itu, seorang wanita dan suaminya yang berusia 30-an ditahan polis bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

4) 31 Oktober: Kanak-kanak diikat tangan, kaki 

Pemeriksaan mengejut seorang wanita keatas sebuah rumah pengasuh di Kepala Batas mendapati anak lelakinya yang berusia tiga tahun diikat pada bahagian tangan dan kaki dan dibiarkan terbaring di lantai pada 28 Oktober

Wanita tersebut mendakwa anaknya sentiasa dalam keadaan lapar apabila diambil dari rumah pengasuh tersebut sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim memberitahu tiada sebarang kesan luka atau lebam di badan kanak-kanak terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Pengasuh berkenaan kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mendera mengikut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

5) 1 Ogos: Kanak-kanak disebat tali pinggang berulang kali  

Sementara itu, di Semenyih, seorang kanak-kanak 12 tahun didakwa disebat dengan tali pinggang berulang kali hingga lebam dan cedera oleh penjaga sebuah rumah kebajikan.

Kejadian 2 Julai tersebut diketahui selepas kanak-kanak berkenaan mengadu perkara tersebut kepada gurunya.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 kemudian mengadakan pertemuan dengan penghuni berusia tujuh hingga 12 tahun yang bersekolah di situ dan majoriti mengaku mereka pernah didera dan mengalami gangguan seksual.

Susulan itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Roziah Osman memberitahu pihaknya mengambil tindakan Lak (sita) di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 terhadap pusat kebajikan terbabit.

6) 4 Ogos: Ibu tiri ‘hentak’ anak dengan lesung batu  

Seorang wanita Indonesia berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul dua kanak-kanak lima dan lapan tahun dengan lesung batu di Georgetown.

Pemeriksaan di badan mangsa berusia lapan tahun itu mendapati ada lebam di tepi mata kanan dan kesan luka di kepala serta calar di tangan kanan manakala adiknya mempunyai parut lama di belakang kepala. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata berdasarkan keterangan dua kanak-kanak itu, mereka memberitahu sering dipukul ibu tiri mereka.

7) 4 Ogos: Kanak-kanak maut punyai kecederaan lama di bahagian kemaluan

Seorang kanak-kanak di Ampang maut semasa pemeriksaan di Hospital Ampang pada 3 Ogos lalu mempunyai kecederaan lama termasuk di bahagian kemaluan, pinggang, tangan kiri, tangan kanan dan muka.

Susulan itu, ibu kanak-kanak berusia tujuh tahun berkenaan direman dan teman lelakinya yang berusia 41 tahun ditahan reman.

8) 14 Oktober: Remaju OKU, Muhammad Firdaus meninggal dunia 

Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang ditemui dalam keadaan kurus kering di Taman Semarak, Nilai, tahun lalu, meninggal dunia.

Bedah siasat mendapati allahyarham tidak sedarkan diri selepas saluran pernafasan tersumbat makanan akibat tersedak ketika diserang sawan sewaktu makan tengah hari.

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU, Muhammad Firdaus meninggal dunia]

Pada 21 Jun 2014, Muhammad Firdaus yang menderitai cerebral palsy ditemui terkurung bersama sampah dan najis ditemui Jabatan Imigresen ketika melakukan Operasi 6P. 

9) 27 Oktober: Ibu, anak dicucuh puntung rokok  

Kes di Kota Bharu pula membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya dicucuh puntung rokok dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian seminggu lalu.

Mangsa kanak-kanak tersebut juga dipukul sehingga lebam pada kedua-dua mata dan dikurung dan mempunyai kesan cucuhan rokok di punggung.

Laporan polis dibuat selepas ibu mangsa dan mangsa berjaya melarikan diri pada 25 Oktober.

Suspek yang juga bekas banduan berusia 32 tahun kemudian ditahan reman dan kes disiasat di bawah‎ seksyen  343 kerana mengurung ibu dan anaknya dan seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

10) 14 November: Kanak-kanak dua tahun maut dipukul, cedera pada dubur  

Manakala di Kuala Lumpur, hasil bedah siasat kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun didapati maut akibat dipukul dengan objek tumpul, selain mempunyai kesan kecederaan pada dubut dan lebam pada bahagian badan.

Mangsa sebelum itu tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan meninggal dunia 6 November.

Sehubungan itu, perintah reman terhadap ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan yang ditahan pada 8 November disambung enam hari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.