SHAH ALAM - Penyusunan semula beberapa portfolio dalam Majlis Tertinggi Umno bertujuan memperkemaskan jentera parti itu bagi menghadapi PRU14.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana individu seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempunyai pengalaman luas dalam arena politik semasa.
“Pada pandangan saya lantikan ini bertujuan memantapkan parti di samping menggunakan kepakaran dimiliki semaksimum mungkin bagi menghadapi cabaran politik pada hari ini.
“Saya tidak kata mereka g ditukarkan portfolio itu tidak bagus tetapi pertukaran itu dilihat sebagai usaha membawa nafas baharu,” katanya, semalam.
Beliau berpendapat, penyusunan portfolio itu juga bertujuan bina semula kepercayaan rakyat kepada Umno.
“Mereka yang dilantik ini pastinya mempunyai strategi baharu bagi menarik semula sokongan orang Melayu khususnya kepada Umno,” katanya.
Menurutnya, pelantikan beberapa pemimpin berpengalaman itu juga satu tindakan tepat buat masa sekarang bagi memastikan semua pihak bekerjasama memastikan kemenangan Umno.
“Pengaruh (aura) yang dimiliki oleh seorang pemimpin berpengalaman sudah pasti menjadi ikutan pemimpin-pemimpin muda.
“Saya ambil contoh Tan Sri Annuar Musa, beliau seorang pemimpin senior, sudah pasti dia akan menjadi seorang mentor yang akhirnya membentuk satu gabungan kuat,” katanya.
Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyusunan semula beberapa portfolio dalam Majlis Tertinggi bagi memantapkan barisan kepimpinan parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.