KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perubatan Malaysia maut selepas motosikal
yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di
Chitradurga, Karnataka, India pada Rabu malam.
Menurut Kementerian Luar Negeri, pelajar berkenaan K. Uthaya Kumar, 23,
pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meninggal dunia ketika
dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga.
Kejadian antara 11 hingga 12 malam itu berlaku kira-kira 600 kilometer
barat dari Chennai, kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada
Khamis.
"Pegawai Konsular dan Pegawai JPA dari Konsulat Jeneral Malaysia di
Chennai dalam perjalanan ke hospital berkenaan untuk melawat dan
menguruskan mayat , kata kenyataan itu.
Kementerian Luar Negeri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai turut
mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Uthaya serta menyatakan
pihaknya bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada keluarga
mendiang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.