Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Yatim sepatutnya membincangkan hal berkaitan pilihan raya negeri itu secara tertutup dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara tertutup, kata PKR.
Naib presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata Adenan juga tidak seharusnya mencadangkan tarikh pilihan raya negeri kerana ia menimbulkan kebimbangan akan adanya campur tangan.
Menurut anggota Parlimen Lembah Pantai itu ini kerana perkara tersebut di bawah bidang kuasa SPR.
Justeru, Nurul Izzah berkata sekiranya benar akan tarikh cadangan seperti yang diumumkannya, maka Malaysia tidak lagi memerlukan SPR.
"Saya fikir beliau sepatutnya membincangkan bersama SPR mengenai pilihan raya negeri secara tertutup kerana kita tidak mahu adanya tanggapan ketua menteri Sarawak mempengaruhi keputusan SPR tentang apa yang harus dilakukan dan tidak harus dilakukan," katanya.
"Saya rasa kalau betul begitu, kita tidak perlukan SPR, tetapi cukup dengan ketua menteri.
"Saya harap beliau tidak mengawal keputusan dibuat SPR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Konvoi #BebasAnwar di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, ketika bercakap di depan kira-kira 700 ahli Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) di majlis pelancaran seminar pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Adenan berkata beliau sudah berhubung dengan (SPR) negeri.
"Saya sudah memilih April ini sebagai bulan pilihan raya, dengan 18 April sebagai tarikh penamaan calon, 30 April sebagai hari pengundian manakala 1 Mei sebagai hari kita merayakannya," Adenan dilaporkan berkata.
Bagaimapun beliau tidak mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). [Baca berita penuh]
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai larangan sekali lagi terhadap Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin untuk masuk ke Sarawak, Nurul Izzah menyifatkan tindakan Adenan sebagai pengecut.
Beliau berkata, ketua menteri Sarawak itu pernah menjanjikan perubahan ketika mengambil alih tampuk pentadbiran namun apa yang dilihat kini beliau meneruskan polisi tidak demokratik.
"Ianya menunjukkan tindakan yang pengecut, amat malang kerana kita menuju ke pilihan raya negeri, sepatutnya beliau membenarkan kita turun padang.
"Ramai rakyat Sarawak mungkin tidak mempunyai akses maklumat yang dibawa setengah pemimpin PKR," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, dengan segala larangan menyekat pemimpin PKR ke Sarawak ia tidak akan sesekali melemahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan hak sebagai parti politik yang sah untuk bertemu dengan rakyat Sarawak.
"Apa pun ianya tidak akan menghalang kita untuk meneruskan usaha memperbaiki kehidupan rakyat Sarawak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.