PENAJA yang berhasrat untuk memberi tajaan kepada Kelantan musim ini tidak seharusnya terburu-buru mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum ada rundingan sebenar.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini untuk mengelak salah faham dan mengganggu rundingan dengan penaja-penaja lain.
"Saya harap mana-mana penaja yang nak taja TRW tidak akan membincangkannya dalam media sebelum ada rundingan sebenar.
"Sebarang tajaan perlu mengikuti prosedur tertentu dan harus ada rundingan secara rasmi. Saya mohon perkara ini dihormati dan Kafa tidak mahu isu tajaan menimbulkan salah faham kepad mana-mana pihak," katanya.
Saranan Annuar itu dipercayai merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung perbincangan melibatkan kedua-dua pihak.
Menurut Dr Hasmiza, beliau menetapkan dua syarat kepada Kafa sebelum bersedia menaja badan induk itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.
Dua syarat berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW).
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mahizi Mahmood ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada Kafa menentukan keputusan.
"Kita penyokong hanya harapkan 2016 tahun yang terbaik bagi menambah kantung kewangan Kafa selepas tahun lepas kita berdepan masalah tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.