Sumbangan politik sebanyak RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan sebagai salah satu hujah untuk memohon pembebasan bekas pembantu kepada Menteri Besar Selangor pada tahun 2008, Mohd Yahya Mat Sahri, di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.
Ia merupakan asas yang pertama kali digunakan di negara ini, berikutan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali Selasa lalu untuk tidak mengenakan pendakwaan terhadap Najib.
Peguam
Manjeet Singh Dhillon memberitahu panel tiga hakim bahawa Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam hansard parlimen
berkata sumbangan politik adalah perkara biasa dan mereka yang
menerimanya tidak boleh dikenakan tindakan.
"Dalam kes kami melibatkan Mohd Yahya Mat Sahri, pembantu
politik kepada menteri besar Selangor, sumbangan politik diperolehi
untuk meraikan 100 hari (Pakatan Rakyat) memerintah pada tahun 2008, di
mana penderma telah dikenalpasti, penerima parti politik telah dikenal
pasti (PKR) dan penderma itu memberikannya secara rela dan memberi
keterangan tiada penipuan dan kekeliruan, dan parti politik itu
menyediakan akaun yang telah diaudit.
"Wang itu tidak pernah digunakan, tidak walau sesen oleh
pelanggan saya," kata Manjeet, bekas presiden Majlis Peguam merujuk
kepada derma RM50,000.
Beliau bertanya apakah jenayah yang dikatakan dilakukan
oleh pelanggannya Mohd Sahri, di mana penderma yang merupakan Presiden
Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Datuk Abdul Karim Munisar memberi keterangan
bahawa dia tidak ditipu dalam pemberian RM50,000 bagi meraikan 100 hari
pemerintahan pembangkang.
Mohd Yahya disabitkan
oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dan dijatuhkan hukuman
penjara dua tahun dan dua sebatan rotan kerana dikatakan menipu Abdul
Karim.
Bekas pembantu kepada menteri besar terdahulu, Tan Sri
Khalid Ibrahim itu pertama kali dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah
Alam pada Oktober 2013.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menangguhkan keputusan
hari ini kepada Mac. Ini merupakan peluang terakhir bagi Mohd Yahya
untuk membuat rayuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.