KEMELUT politik yang melanda Kedah sejak lebih seminggu lalu mula menampakkan kesan pada rakyat. Sebelum ini pola politik di negeri itu, terutama dalam kalangan orang Melayu agak jelas terbahagi kepada Umno dan Pas, selain sedikit PKR dan kini, Amanah.
Bagaimanapun dengan munculnya konflik yang begitu terbuka, perpecahan dalam Umno kian terserlah.
Malah dalam kalangan penyokong tegar Umno, mereka tanpa selindung melaungkan slogan “hangpa tukaq, kami kalih”.
Makna slogan itu adalah jika pucuk pimpinan Umno/ kerajaan menggugurkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan menteri besar, kumpulan penyokong Umno yang pro Mukhriz tidak akan teragak-agak untuk mengundi pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Rabu lalu, mesyuarat mingguan Exco Kedah hanya dihadiri tiga anggota, tidak termasuk menteri besar.
Mereka yang tidak hadir, difahamkan sesetengahnya memang mempunyai sebab. Exco Kanan, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengikut catatan di Facebook beliau, menziarahi kematian sepupunya di Yan pada waktu yang sama.
Bagi anggota Exco lain yang tidak hadir, meskipun mereka juga mungkin mempunyai sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, dalam situasi yang penuh tanda tanya seperti sekarang, apa sahaja boleh ditafsirkan.
Ini berkait dengan desas-desus kononnya ada larangan daripada pihak tertentu meminta anggota exco tidak hadir mesyuarat berkenaan bagi menunjukkan isyarat bahawa kepimpinan Mukhriz tidak lagi diterima oleh anggota kerajaannya sendiri.
Lebih teruk lagi dikatakan tujuan larangan itu adalah untuk melumpuhkan Kerajaan Kedah supaya pucuk pimpinan tiada pilihan selain melantik orang baharu mengambil alih kepimpinan negeri dan parti.
Jika benar, ini adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat Kedah. Konflik politik dalaman Umno telah menyebabkan mesyuarat exco kerajaan negeri gagal diadakan dan beberapa perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat tidak dapat diputuskan.
Mengikut peraturan, sekurang-kurangnya empat daripada sembilan anggota exco - tidak termasuk menteri besar - harus ada dalam mesyuarat untuk membolehkan sesuatu keputusan dibuat.
Ini bukanlah sesuatu yang baik untuk imej dan kredibiliti BN sebagai parti yang memerintah, sekali gus meletakkan parti itu dalam keadaan berisiko untuk terus mengekalkan kuasa pada pilihan raya akan datang.
Menurut pemerhati, apa yang sedang berlaku di Kedah sekarang adalah sangat politik sifatnya.
Ini boleh dilihat daripada tiga sebab yang dikemukakan oleh kumpulan yang mahu Mukhriz disingkirkan, hanya satu yang mengaitkan rakyat Kedah secara keseluruhan. Dua sebab yang lain hanya melibatkan isu dalaman Umno.
Melihat apa yang berlaku pada hari mesyuarat itu, ia ternyata benar. Ketidakhadiran sebahagian besar anggota exco menyebabkan mesyuarat tidak dapat membuat keputusan penting yang berkaitan dengan rakyat.
Soalnya, bilakah kemelut ini benar-benar akan berakhir?
Lebih lama isu ini berlarutan, sudah tentu lebih banyak urusan yang terjejas.
Bagaimanapun di pihak yang menentang Mukhriz, mereka juga membawa hujah bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.
Menurut mereka, Mukhriz telah gagal menjalankan tanggungjawab mengemudikan parti sebagai kerajaan yang memerintah dan diterima baik oleh semua pihak, terutama kalangan pemimpin Umno sendiri.
Apa pun hujah kedua-dua pihak, kemelut ini telah memperlihatkan pertentangan kepentingan antara rakyat dengan ahli politik. Ahli politik dilihat lebih mengutamakan kepentingan sendiri berbanding rakyat yang amat memerlukan perhatian dan pembelaan, terutama dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing sekarang.
Ini bercanggah dengan prinsip politik yang secara secara asasinya adalah urusan yang bermatlamatkan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun apabila berlaku permainan politik yang berlebihan, ia hanya membawa kepada keadaan jadi tidak tenteram dan dalam situasi ini, sudah tentu rakyat yang tersepit!
Baru-baru ini, ada kenyataan daripada pihak istana bahawa Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengambil sikap berkecuali dalam kemelut yang melanda politik negeri itu.
Kenyataan tersebut ditafsirkan oleh sesetengah pihak dengan kata-kata mudah: “Hangpa buat masalah, hangpa selesai sendirilah!”
Dalam kenyataan itu, Jemaah Pemangku Sultan Kedah antara lain mahu semua pihak yang terbabit mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan tidak melibatkan rakyat yang ketika ini memerlukan perhatian dan pimpinan daripada kesemua pemimpin.
Ini seiring dengan titah ucapan Sultan Kedah sendiri sempena hari ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini bahawa pemimpin seharusnya memberi keutamaan terhadap masalah rakyat yang sedang dihimpit kesengsaraan akibat tekanan ekonomi.
Malangnya, dua hari selepas baginda menyampaikan titah pesanan itu, berlaku sidang akhbar oleh kumpulan yang mendesak Menteri Besar Kedah ditukar.
Walau apa jua asbab dan alasannya, ia adalah sangat kontradik dengan apa yang dipesan dan diperingatkan oleh baginda.
Mungkin kali ini, mereka yang keterlaluan bermain politik perlu diberi sedikit peringatan iaitu dengan menolak calon pilihan mereka sebagaimana yang pernah berlaku di Selangor ketika Langkah Kajang pada 2014.
Apa pun, tanda tanya masih berlegar. Apakah benar Mukhriz akan dikekalkan ataupun hanya pengekalan sementara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.