"Jika tiada komunikasi terlindung, tidak akan ada 'effective legal representation'. Ini bermakna, setiap pegawai polis bertanggungjawab melindungi hak sedia ada ini," kata bekas presiden Majlis Peguam itu dalam satu kenyataan.
Ambiga berkata, "kenyataan fitnah yang tidak wajar" dibuat ketua polis negara terhadap Americk berbaur gangguan terhadap seorang peguam dalam menjalankan tugasnya. Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor The New Straits Times berkata, reputasi peguam itu tidak baik dalam hal akuan berkanun (SD) dan ini bukan kali pertama anak guamnya hilang selepas mengemukakan dokumen sebegitu.
Khalid merujuk kepada Charles, yang berlepas ke Amerika Syarikat pada Khamis selepas mengeluarkan SD yang mendakwa pembunuhan adiknya, Datuk Kevin Morais, ada kaitan dengan penyediaan kertas pertuduhan mendakwa seorang pemimpin politik berprofail tinggi berhubung rasuah.
Pada 2008, Americk menyediakan SD pertama untuk penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa individu lain dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Keesokan harinya, Balasubramaniam menandatangani akuan ke-2 dan menarik balik SD pertama itu.
Dia dan keluarganya meninggalkan negara ini dan kembali pada 2013 tetapi Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung tidak lama kemudian.
Ambiga hari ini berkata serangan peribadi ketua polis terhadap Americk dan Charles, yang sebelum ini dilabelnya pengecut, menimbulkan kebimbangan berhubung kegagalan Khalid bertindak bebas.
"Penting bagi ketua polis negara berundur dan membenarkan siasatan dilaksanakan seorang pegawai yang boleh bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"Ini perlu bagi menegakkan kebebasan pasukan polis dan memberi jaminan kepada orang ramai siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah akan dijalankan ke atas dakwaan dalam SD itu," katanya.
Beliau juga menggesa Putrajaya memastikan peguam tidak ditakutkan, diganggu atau dicampuri dalam proses melaksanakan tugas profesional mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.