JELI: Polis menahan pemandu bas ekspres yang terbabit dengan kemalangan
sehingga mengakibatkan empat terbunuh di Lebuhraya Timur-Barat di sini,
awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar
berkata, pemandu berusia 26 tahun itu ditahan selama empat hari dan
disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam insiden pada pukul 1.30 pagi jumaat itu, bas ekspres dari
Butterworth, Pulau Pinang ke Kuala Terengganu bergesel dengan sebuah
treler di Km124, Lebuhraya Timur-Barat di Batu 14 di sini.
Penumpang yang maut dikenal pasti sebagai Hasiah Osman, 57, dan
anaknya, Muhammad Amir Abdul Rahim, 16, berasal dari Kampung Alma, Bukit
Mertajam, Pulau Pinang.
Dua lagi dikenal pasti sebagai Nor Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dari
Kampung Mengabang Lekar, Batu Rakit, Terengganu dan Mohd Syafiq Azrul
Azmi, 25, dari Losong, Terengganu.
Seorang lagi penumpang bas cedera parah dan sedang dirawat di hospital besar di sini.
Mohd Yusoff berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu bas hilang
kawalan menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan sebuah treler.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.