Selasa, 29 Disember 2015

PKR: Jangan tuding jari Zahid, dedah semua kontrak k'jaan

MALAYSIAKINI


 


PKR hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan semua kontrak, perjanjian dan konsesi yang memberi kesan kepada kos sara hidup, termasuk perjanjian tol lebuh raya.

Ia berikutan kenyataan Zahid bahawa orang ramai tidak harus menyalahkan kerajaan sedia ada terhadap kontrak penswastaan yang dibuat sejak era kepimpinan sebelum ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata meskipun masalah mengenai kontrak kerajaan berlaku sejak dahulu,


Zahid selaku orang nombor dua dalam kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menanganinya.

“Jika benar kontrak, perjanjian dan konsesi ini tidak memanfaatkan malah membebankan hidup rakyat, apakah tidak mungkin ianya dikaji semula dan perjanjian yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat dimeterai?," Soal Fahmi dalam kenyataan media hari ini.

“Alangkah sayangnya, Zahid kelihatan lebih berminat untuk memberi bayangan tentang siapa yang mencetuskan masalah dari berusaha menyelesaikannya,” katanya.

Zahid hari ini dilaporkan berkata orang ramai tidak harus menyalahkan kerajaan terhadap kontrak penswastaan dengan mengatakan “Najis yang terpalit itu dibuat dari dulu,”.

Beliau juga dilapor mengakui kontrak lebuh raya, pengeluar tenaga bebas (IPP) dan keretapi ERL adalah berat sebelah, namun enggan menamakan secara khusus pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun beliau dipercayai merujuk kepada perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengkritik keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno pada 12 Disember lalu berkata kenaikan tinggi tambang ERL dari RM35 kepada RM55 hasil perjanjian ditandatangani pada 1997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.