SHAH ALAM: PKR sekali lagi menerima tekanan apabila PAS Johor
mengumumkan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekiranya
tiada perbincangan antara kedua-dua parti mengenai peruntukan kerusi.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya cuba
menghubungi PKR mengenai pembahagian kerusi, namun gagal mendapat maklum
balas daripada parti itu.
Malah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berkata, PAS bersedia untuk
bertanding dalam pilihan raya secara bersendirian dan bekerjasama dengan
parti-parti kecil atau organisasi bukan kerajaan.
"Saya tahu ia akan menjadi sukar jika kita bersendirian...tapi tiada apa yang mustahil," katanya dipetik mStar.
Dr Mahfodz dalam pada itu tetap menegaskan parti itu menolak
kemungkinan untuk berkompromi bersama DAP walaupun terpaksa menghadapi
pertandingan tiga penjuru kelak.
Semalam, PKR didesak untuk menyatakan pendirian oleh PAS Perak sama ada
mahu bekerjasama dalam soal agihan kerusi pada PRU akan datang.
Pesuruhjaya PAS negeri itu, Razman Zakaria berkata, pihaknya sudah mahu
memulakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas melalui Lajnah Perpaduan
Nasional bagi mengenalpasti calon bukan Islam untuk mewakili parti itu.
Justeru katanya, pendirian rakan kerjasama mereka itu penting untuk diketahui bagi memudahkan gerak kerja.
Malah Razman dalam pada itu tidak menolak kemungkinan PAS bertanding di
semua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada pilihan raya
umum akan datang, berdasarkan situasi semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.