shahbudindotcom
Ketika
berbual dengan kawan-kawan mengenai Ahmad Maslan yang didapati
kerapkali mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal, pertanyaan seterusnya
yang selalu kedengaran ialah bagaimanakah orang seperti beliau boleh
menjadi seorang anggota pentadbiran kerajaan?
Sepanjang
menjadi timbalan menteri sejak 2009, beliau merupakan pemimpin UMNO
yang paling banyak diperbualkan dan menjadi persendaan rakyat berikutan
beberapa kenyataan yang dikeluarkannya.
Kalau
ikut hukum akal atau sekiranya Najib Razak mengambil kira banyaknya
rungutan, bukan saja di kalangan rakyat, bahkan di kalangan ahli UMNO
sendiri, Ahmad Maslan sudah sepatutnya diketepikan daripada menganggotai
kerajaan.
Terbaru
dalam menggalakkan rakyat melakukan dua kerja untuk menangani
peningkatan kos sara hidup, Ahmad Maslan jelas keliru dan tidak dapat
membezakan antara kerja dengan jawatan apabila mengatakan beliau sendiri
mempunyai tiga kerja dalam satu masa iaitu sebagai timbalan menteri,
ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO.
Sekali lagi timbul perbualan, bagaimana sebagai timbalan menteri tidak dapat membezakan antara kerja dengan jawatan?
Tidak
saja rakyat biasa, malah seorang mufti juga turut tidak dapat menahan
diri daripada mempertikaikan kecerdikan dan kemampuan berfikir Ahmad
Maslan itu.
Secara
umumnya, apabila menjadi pemimpin dalam kerajaan, harapan rakyat ialah
mereka mestilah lebih cerdik atau sekurang-kurangnya kelihatan beberapa
langkah ke hadapan dari segi pemikirannya berbanding rakyat biasa.
Dengan demikian, barulah kepimpinan mereka boleh diikuti atau dijadikan pedoman. Itulah nilai seorang pemimpin di mata rakyat.
Tetapi
berbeza dengan Ahmad Maslan, beliau seringkali saja mengeluarkan
kenyataan yang mengelirukan, tidak masuk akal, malah tidak menunjukkan
berbezanya diri beliau itu sebagai pemimpin.
Dengan
beberapa lagi pemimpin mempunyai watak seperti Ahmad Maslan dalam
kerajaan seperti pernah menyarankan jangan makan ayam jika mahal, tanam
sayur sendiri kerana harganya kian mahal, bertolak lebih awal untuk
mengelak tol dan sebagainya, ia secara tidak langsung memburukkan lagi
imej kerajaan di mata rakyat.
Mengapa
di zaman Najib ini begitu banyak pertikaian mengenai kualiti menteri
dan timbalan menteri yang dilantiknya, sedangkan ia tidak pernah
berbangkit sebelum ini?
Kenapakah
orang seperti Ahmad Maslan lebih senang mendapat kedudukan dalam
kerajaan berbanding ramai Ahli Parlimen lain yang jauh jauh lebih baik,
lebih cerdik dan diyakini?
Mengapa
sesetengah Ahli Parlimen yang baik dan cerdik pula, hanya sesudah
beberapa penggal menjadi wakil rakyat barulah dilantik menganggotai
kerajaan, berbeza dengan Ahmad Maslan yang mula bertanding di Pontian
pada pilihanraya 2008, tetapi terus dilantik sebagai timbalan menteri
pada 2009 apabila Najib menjadi Perdana Menteri?
Jawapannya
tidak lain ada pada Najib sendiri. Beliau bukannya melantik menteri dan
timbalan menteri untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat dan
negara, tetapi semata-mata untuk dirinya.
Sebab
itu, beliau memilih mereka yang setia, suka mengampu, membodek dan
hanya sedia memujinya saja. Faktor kemampuan dan keupayaan memikul
tanggungjawab, kecerdikan berfikir atau memberi khdmat kepada rakyat,
tidak lagi menjadi faktor paling utama.
Ada
menteri yang diketahui umum dilantik semata-mata kerana kuat mengampu
dan mengepung sehingga Najib tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada
memberinya ganjaran jawatan.
Pemimpin
yang baik dan mempunyai keupayaan berfikir dengan cemelang barangkali
hanya boleh dibilang dengan jari dalam pentadbiran kerajaan di era Najib
ini.
Selain
itu, Najib juga barangkali enggan melantik semua yang cerdik dan pandai
dalam kerajaan pimpinannya kerana tidak mahu dirinya sendiri tenggelam.
Hanya apabila di kelilingi oleh mereka yang tidak berapa cerdik, sering
mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan menjadi bahan persendaan
rakyat saja barulah Najib kelihatan sedikit lebih baik dan menonjol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.