KUALA LUMPUR: Jawatankuasa peringkat tertinggi dipengerusikan Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan ditubuhkan bagi membincangkan pandangan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani peningkatan kos sara
hidup rakyat.
Jawatankuasa itu bakal dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan.
Menteri terbabit ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan
II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris
Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Pada sidang media hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan fungsi
jawatankuasa itu tidak bertindih dengan Jawatankuasa Khas Kabinet
Mengenai Kos Sara Hidup sedia ada yang juga dipengerusikannya.
Sebaliknya beliau berkata, jawatankuasa tertinggi itu akan
membincangkan di peringkat awal isu berkenaan sebelum dikemukakan kepada
Jawatankuasa Khas Kabinet.
Terdahulu dalam ucapan ketika merasmikan penutup Majlis Deklarasi
Prioriti 2016: "Ekonomi Keutamaan Kita", Ahmad Zahid berkata, beliau
akan mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
bagi menubuhkan jawatankuasa tertinggi itu.
"Saya menawarkan diri untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang
terdiri daripada enam menteri dan KSU kementerian berkenaan.
"Insya-Allah dalam minggu pertama Januari ini, saya sendiri akan
mempengerusikan jawatankuasa bagi membincangkan semua resolusi yang
dicapai hari ini.
"Saya akan jemput semua pemimpin NGO untuk bertemu bagi menyatakan
pandangan kepada Perdana Menteri mengenai isu berkaitan kos sara hidup,"
katanya.
Majlis itu dianjurkan oleh Yayasan Damai Sejahtera Malaysia yang dinaungi beliau.
Resolusi itu dicapai hasil pandangan 50 NGO bagi menangani cabaran
ekonomi 2016 dan cabaran kenaikan kos sara hidup menerusi Pelan Tindakan
Strategik Enam Kluster Teras.
Kluster itu membabitkan mahasiswa; wanita dan keluarga; keusahawanan
dan perniagaan; golongan bandar dan luar bandar; keseniaan dan
persuratan serta pekerja dan pesara.
Berkonsepkan satu kluster NGO satu teras tumpuan, ditubuhkan Majlis NGO
Kreatif dan Inovatif (MANGKIN) untuk mengambil tindakan susulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.