KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Dengan persempadanan semula ini, kerusi DUN di Sarawak bertambah daripada 71 kerusi kepada 82.
Pengundian dibuat melalui undi belah bahagi dengan keputusannya memihak kepada kerajaan.
Speaker membuat keputusan itu dengan 130 ahli dewan bersetuju manakala seramai 72 orang tidak bersetuju.
Sebelum itu, ucapan pergulungan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul
mengenai laporan kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya
Sarawak hari ini.
Laporan itu mencadangkan penambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) meliputi DUN Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong,
Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.
Turut disyorkan adalah pindaan nama kerusi Parlimen Mambong digantikan kepada Puncak Borneo.
"Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan
pemilih berdaftar sama rata bagi setiap bahagian pilihan raya
Persekutuan dan negeri di dalam negeri Sarawak adalah sukar dilaksanakan
kerana terdapatnya kawasan luar bandar yang keadaan topografinya dan
demografinya yang sangat-sangat berbeza antara satu sama lain.
"Ini secara tidak langsung mewujudkan kekangan dari segi lokasi
terpencil, jarak antara lokasi di kawasan pedalaman yang amat jauh serta
jalan-jalan perhubungan serta pengangkutan yang terhad," kata Najib.
Katanya, dengan pertambahan bahagian pilihan raya itu, ia secara tidak
langsung dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada
penduduk tempatan di Sarawak khususnya penduduk yang berada dalam
kawasan bahagian pilihan raya negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.