Sabtu, 26 Disember 2015

Berbalah ‘Merry Christmas’ hingga terlupa rakyat tertindas

Oleh Sahril Mahmuddin
 

Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering terlupa titik persamaan kita. 


Chrismats Malaysia



Setiap kali menjelang perayaan Hari Natal yang disambut oleh segenap teman-teman yang beragama Kristian, pastinya timbul satu isu yang hangat diperdebatkan setiap tahun. Dipersoalkan sama ada boleh atau tidak kita mengucapkan selamat atas perayaan Hari Natal ini.

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai satu-satu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka”.
Hadis diatas menyokong pandangan bahawa haram mengucapkan selamat bagi perayaan agama lain.

Terdapat beberapa ulama yang berpendapat mengucapkan selamat adalah sebahagian daripada syiar agama mereka dan ini adalah bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang dimaksudkan dalam hadis. Apabila berkisar mengenai penyerupaan agama lain, sudah pasti ia merupakan masalah yang berkait dengan aqidah.

Namun demikian, terdapat juga fatwa kontemporari yang menyokong keharusan mengucapkan selamat ke atas perayaan agama lain seperti yang diputuskan oleh Lembaga Fatwa dan Penyelidikan Eropah.

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

Mereka yang melihat keharusan ucapan selamat tidak melihat ini sebagai isu aqidah dan melibatkan pengiktirafan kekufuran agama lain. Sebaliknya melihat ia sebagai bentuk kebajikan selagi mana tidak melanggar syarak.

Perbezaan pendapat yang disokong hujah dan dalil yang kuat ini sepatutnya diraikan.

Namun, perkara sebaliknya berlaku kerana terdapat golongan yang ekstrim dengan pendapat mereka. Ini tidak selari dengan konsep berlapang dada yang dianjurkan dalam menghadapi perbezaan. Saban tahun perbalahan yang kita dengari, hinggakan mereka yang menyokong pendapat boleh mengucapkan selamat untuk perayaan ini dilihat sebagai golongan yang salah.

Dari sisi pandang lain pula, keadaan ini tidak ubah seperti perang apabila pihak yang dikecam dengan pendapat mereka membalas dengan melemparkan label yang tidak disenangi seperti jumud dan sebagainya.

Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering terlupa titik persamaan kita.

Persamaan yang bersifat Qat’ie atau jelas yang telah disyariatkan dan wajib kita perjuangkan bersama.

Dalam berbeza, kita lupa kita masih inginkan hidup dalam keharmonian dengan kepelbagaian agama di negara yang kita cintai ini.

Dalam berbeza, kita lupa kita sama-sama perlu menolak kezaliman dan penindasan terhadap golongan yang tidak terbela.

Dalam berbeza kita lupa kita sama-sama perlu membela nasib rakyat miskin yang dizalimi kerana semakin ditekan oleh kos hidup tinggi hasil dari tidak telusnya pemerintahan negara.

Dalam berbeza, kita lupa kita masih lagi beriktiqad dengan pegangan aqidah yang sama.

Ini semua syariat yang perlu kita perjuangkan bersama.

Saya menyeru agar semua mahasiswa Islam agar mengharmonikan perbezaan yang bersifat khilaf, rapatkan saf dan perjuangkan perkara yang jelas disyariatkan.

Sahril Mahmuddin adalah Presiden Kelab Sahabat Al Hikmah UMSKAL (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.