Isnin, 28 Disember 2015

Bauksit: 'Godaan jadi jutawan segera'

Nigel Aw


 


LAPORAN KHAS Kuantan sekali lagi menjadi tumpuan berkaitan dengan isu alam sekitar ketika ia diselubungi debu merah dari aktiviti melombong bauksit.

Tetapi tidak sepertimana bantahan di Kuantan terhadap loji pemprosesan nadir bumi Lynas lima tahun lalu, kontroversi alam sekitar terbaru ini tidak mengundang sebarang gerakan protes yang ketara, walaupun ia telah berlarutan selama hampir dua tahun.

Ini walaupun ancaman terhadap alam sekitar adalah lebih jelas dan ketara, seperti yang diluahkan oleh seorang penduduk tempatan, Wong Chum Yuan, yang juga ketua pemuda PKR negeri itu.

"Dengan Lynas, ia adalah mengenai risiko (pencemaran alam sekitar) tetapi dengan bauksit, kita sudah dapat melihat kesannya sekarang," katanya.

Debu dari aktiviti melombong bauksit membawa logam berat, yang boleh memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka panjang.



Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (foto), yang merupakan orang penting dalam memulakan gerakan menentang loji penapisan nadir bumi Lynas, mengakui beliau bergelut untuk mencari gelombang sokongan dalam isu terbaru membabitkan bauksit.

"Semuanya kerana disebabkan sikap tamak," kata Fuziah.

Manakala kerajaan Pahang membenarkan tanah di negeri itu yang kaya dengan kandungan bauksit dikorek, penduduk tempatan juga membenarkan tanah mereka dikorek untuk tujuan yang sama, ekoran janji pulangan yang lumayan.

 Jutawan segera

Salah satu contohnya ialah peneroka Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di mana generasi sebelumnya telah mengusahakan tanah di situ selama lebih empat dekad, tetapi kini anak-anak mereka berpeluang untuk menjadi jutawan segera dengan membenarkan kelapa sawit mereka dicabut.

RTP - satu inisiatif yang bermula pada 1971 oleh kerajaan negeri Pahang - adalah serupa dengan Felda, di mana peneroka telah diberikan 10 ekar tanah untuk mengusahakan tanaman.

RTP Bukit Goh terletak kira-kira 16km dari pusat bandar Kuantan.

Hari ini, pemilik tanah ditawarkan purata RM9 bagi setiap tan tanah yang kaya dengan bauksit.

Walaupun jumlah itu mungkin nampak tidak seberapa, tetapi kawasan seluas 10 ekar boleh digali sehingga purata kedalaman sekitar 10 kaki yang diterjemahkan kepada keluasan kira-kira 120,000 meter persegi.


Bergantung kepada jenis tanah dan kelembapannya, di antara satu hingga 1.8 tan tanah boleh diperolehi dari setiap meter padu, di mana pemilik tanah boleh mendapatkan antara RM1 juta dan RM2 juta.

Menurut Fauziah, beliau meminta penduduk kampung supaya tidak membenarkan tanah mereka dikorek seperti itu.

Katanya, mereka tidak akan dapat lagi menanam di plot itu dan ratusan ribu ringgit yang mereka dapat, tidak akan bernilai dengan apa juga penyakit yang mungkin menimpa diri mereka atau anak-anak mereka.

"Tetapi mereka memberitahu saya ini adalah peluang mereka jadi kaya, jadi mengapa saya cuba nak halang mereka?" keluh Fuziah.

Namun, tidak begitu halnya dengan mereka seperti Salwani Tajuddin yang berusia 37 tahun dan keluarganya.

Rumah Salwani terletak di Jalan Bukit Kuantan, jalan utama yang digunakan oleh ribuan lori setiap hari untuk menghantar tanah yang kaya dengan bauksit ke pelabuhan Gebeng.

Kedua-dua belah jalan raya itu kini bersepah dengan pokok kelapa sawit yang mati dan dedaun yang layu kerana selubungi lapisan tebal debu merah.

Manakala jentera pengorek pula boleh dilihat mengorek tanah dengan pokok kelapa tumbang berselerak di situ.

"Kami terjejas di sini... anak-anak saya tak selamat apabila mereka keluar dan bermain. Tiada seorang pun daripada kami selamat apabila kita keluar," kata Salwani, sambil menyapu lapisan tebal debu merah di atas meja di luar rumahnya.

Beliau berkata, anak-anaknya juga telah mengalami masalah pernafasan dan penyakit kulit sejak kerja mengorek tanah bauksit bermula di keliling tanah miliknya.





Salwani, yang berniaga kedai kopi di luar rumahnya, terpaksa mengubahsuai gerainya dengan ditutup sepenuhnya dengan tingkap kerana jika tidak, tiada siapa yang akan datang kerana debu di situ.

'Seorang Cina bergelar 'datuk' pernah datang dan memberi jaminan kami akan jadi kaya. Dia letak segumpal wang tunai dalam sampul surat di atas meja kami.

"Ayah saya mahu mengalah tetapi kita (anak-anak) berkata 'tidak'. Wang yang mereka beri pada kami hanya boleh bertahan beberapa tahun, kemudian tanah kami tidak boleh digunakan lagi," katanya, sambil menambah keluarganya memperolehi sekitar RM5,000 sebulan dari hasil perladangan.

Sejak bulan lepas, setiap rumah di kawasan itu kini dibayar RM500 sebulan oleh mereka yang terbabit dengan pengeluaran bauksit itu bagi menenangkan kemarahan mereka.

Penduduk bakar lori bauksit

Tetapi beberapa kilometer ke Jalan Bukit Kuantan, di sempadan Pahang, kemarahan telah memuncak dengan penduduk tempatan bertindak membakar lori yang membawa bauksit.

Pemandu lori dikehendaki menggunakan laluan itu kerana ia dapat mengelakkan pusat-pusat penduduk utama, tetapi mereka perlu melintas ke Neram, Terengganu, ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Gebeng di Pahang.

Penduduk kampung yang tinggal di sempadan sebelah Terengganu tidak mendapat apa-apa daripada perusahaan bauksit itu tetapi jalan di tempat mereka berlubang dan secara beransur-ansur berubah menjadi jalan yang kotor kerana dilalui ribuan lori tersebut.

"Di sinilah di mana kebanyakannya berlaku kejadian lori dibakar," kata Aidil Haryman Mat Noor, pembantu Fuziah yang membawa media ke lokasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.